SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) disaran lebih fleksibel mencalonkan individu-individu yang diyakini boleh menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khususnya di Selangor dengan mengambil contoh dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, formula itu diguna dalam PRK Cameron Highlands apabila tidak bergantung kepada calon tradisi atau permintaan sesetengah pihak sehingga membawa kemenangan kepada BN.
“Kita perlu lebih fleksibel dalam pemilihan calon untuk kembali merampas nSelangor. Di Cameron Highlands kita telah memenangi PRK tersebut setelah memilih calon dalam kalangan Orang Asli walaupun ia kerusi tradisi MIC,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini hari ini.
Najib berkata, calon BN pada PRU15 juga perlu bersifat kompeten serta menepati kriteria seperti yang pernah disebutkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi) atau Walik.
“Calon perlu ada gaya, ada potongan sebagai bakal pemimpin kerajaan negeri. Janganlah pilih calon yang longlai dan lembik hingga orang tengok pun loya. Pilihlah pemimpin yang baik dengan ciri-ciri Walik untuk kita kembali merampas kerajaan negeri,” tegasnya.
Selain itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri menasihatkan BN Selangor supaya bijak mengambil kesempatan terhadap isu-isu yang melanda di negeri ini untuk kembali memenangi hati rakyat dan membuka peluang kepada parti untuk kembali menjadi kerajaan.
“Isu besar di negeri ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Isu penyaluran air dari Pahang ke Selangor dengan alasan negeri ini ada banyak stok air bawah tanah menyebabkan rakyat sering menghadapi masalah bekalan air.
“Begitu juga masalah banjir yang menyebabkan Srri Muda dan Hulu Langat, ini semua berpunca daripada cadangan kita agar Projek Canal City dilaksana telah ditolak oleh kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN