Budak OKU tular didera kerana dihalang bertindak agresif - Utusan Malaysia

Budak OKU tular didera kerana dihalang bertindak agresif

SEORANG kanak-kanak perempuan yang menghidap autisme mengalami lebam di bahagian telinga selepas didakwa menjadi mangsa dera seorang guru pendidikan khas di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Tindakan seorang guru pendidikan khas memegang telinga seorang kanak-kanak perempuan golongan orang kurang upaya (OKU) hingga menyebabkan kecederaan seperti yang ditularkan baru-baru ini dipercayai hanya bertujuan menenangkan kanak-kanak itu daripada terus bertindak agresif.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San susulan penularan gambar kanak-kanak perempuan terbabit yang didakwa menjadi mangsa dera dalam laman Facebook milik Mona Din, baru-baru ini.

Cheng San berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya dan ekoran kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya, di sini pada 19 Julai lalu.

Menurut beliau, siasatan lanjut kemudian mengesahkan mangsa merupakan seorang kanak-kanak autisme dan telah mengikuti kelas pendidikan khas di sekolah berkenaan.

“Kejadian itu disyaki berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi pada 19 Julai lalu apabila kanak-kanak perempuan itu dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan murid yang lain takut serta menangis.

“Akibatnya, seorang guru perempuan yang berusia lingkungan 30-an datang ke arah mangsa dan memegang kedua-dua belah telinga kanak-kanak itu dalam usaha untuk menenangkannya daripada terus bersikap agresif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cheng San memberitahu, tindakan guru terbabit bagaimanapun menyebabkan mangsa mengalami lebam di kedua-dua belah telinga dan terpaksa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini untuk rawatan lanjut.

“Susulan kejadian ini, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” kata beliau yang memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam pada itu, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya