SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) didakwa menjadi punca pimpinan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dianggap gagal.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, pemimpin PH sepatutnya agresif untuk memberi penjelasan kepada rakyat supaya perkara itu dapat membersihkan persepsi buruk terhadap PH.
“Apa yang perlu PH lakukan adalah kejujuran. Kita perlu akui sekiranya ada kekurangan dalam kepimpinan PH dulu. PH sepatutnya lebih agresif untuk menerangkan kesilapan yang berlaku dalam tempoh 22 bulan itu berpunca daripada Bersatu.
“Contohnya mereka buat lawak mengenai ‘kereta terbang’. Menteri daripada parti itu yang mengeluarkan kenyataan demikian tetapi kerana penerangan kepada rakyat tidak dibuat dengan baik serta pemimpin-pemimpin PH juga tidak aktif di media sosial. Oleh itu kita tidak dapat kongsikan naratif itu.
“Dalam kerajaan PH dulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di situ, pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga adalah orang Bersatu. Jadi, semua masalah-masalah besar adalah daripada Bersatu,” katanya semasa menghadiri Kongres Nasional PKR.
Terdahulu, Rafizi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR mengalahkan lawannya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, masih belum terlambat untuk menggembleng pasukan PH untuk mengubah pandangan tersebut.
“Kalau kita terangkan kepada orang awam secara agresif sejak awal, kita sudah boleh bersihkan persepsi rakyat berkaitan hal ini. Tidak dinafikan PH juga buat kesilapan dan kita sudah akui kelemahan kita.
“Kebanyakan bahan lawak itu datangnya daripada Bersatu. Saya tidak tahu berapa lama kita ada sebelum PRU15 tetapi jika kita dapat jelaskan perkara ini terutama kepada pengundi atas pagar, mereka tentu akan faham.
“Bukan nak kata saya tidak risau tentang naratif `cukuplah 22 bulan’ itu tetapi bukanlah tidak boleh diubah,” jelasnya.
Kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, beliau yakin pengundi atas pagar mampu untuk mengenalpasti pimpinan yang lebih baik sekiranya mereka didedahkan kepada maklumat-maklumat yang betul.
“Sekiranya kita perhatikan, mereka yang asyik ulang mengenai `22 bulan’ itu, mereka adalah cyber trooper hardcore UMNO. Disebabkan kita tidak teliti, kita anggap semua orang Melayu begitu sedangkan itu tidak benar.
“Kalau kita tengok balik jumlah orang yang menolak PH hanya kerana ’22 bulan’ bukanlah seperti yang digambarkan malah lebih rendah,” kata Rafizi.- UTUSAN










