Berkorban masa depan jaga ibu sakit

Berkorban masa depan jaga ibu sakit

TUAN Fazlee Tuan Losing menemani Siti Khatijah Pak Man di rumah mereka di Kampung Jal Kechik, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ FOTO ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang pemuda dari Kampung Jal Kechik di sini, sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang diserang penyakit angin ahmar dan kanser darah sejak lapan tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tuan Fazlee Tuan Losing, 32, berkata, situasi itu menyebabkan ibunya Siti Khatijah Pak Man, 72, hanya mampu mengengsot sekali gus memerlukan penjagaan rapi.

“Sebagai anak sulung lelaki, saya sepatutnya keluar bekerja mencari rezeki. Namun, hasrat itu terpaksa dilupakan selepas melihat keadaan ibu yang memerlukan penjagaan rapi.

“Sebelum ini saya pernah bekerja di sebuah pasar raya, tetapi terpaksa berhenti kerana mahu menguruskan ibu. Lagi pun adik perempuan saya berusia 30 tahun sudah berkahwin dan terpaksa menguruskan rumah tangganya termasuk tiga anak berusia antara empat bulan hingga sembilan tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tuan Fazlee memberitahu, setiap bulan dia memerlukan perbelanjaan RM1,000 untuk menguruskan ibunya merangkumi pembelian ubat, susu dan lampin pakai buang.

Katanya, walaupun memperolehi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan tersebut.

“Kadangkala susu dan lampin pakai buang tidak mencukupi. Situasi itu menyebabkan saya terpaksa memimjam wang dari emak saudara. Ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan bantuan kepada ibu,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun 0311829000235822 Bank Simpanan Nasional atas nama Siti Khatijah Pak Man. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN