KUALA LUMPUR: Pengurusan subsidi yang lebih mampan di samping memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan pada masa akan datang menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2023.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulis sesi persidangan Dewan Rakyat berkata, langkah itu diambil kira susulan kadar inflasi yang semakin meruncing khususnya membabitkan harga komoditi dan makanan.
Selain itu, tumpuan pengurusan subsidi berkenaan adalah sebagai langkah dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius.
“Memandangkan dunia sekarang sedang bergelut dengan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim yang serius, inisiatif berkaitan kemampanan turut diambil kira dalam Bajet 2023.
“Dengan tekanan inflasi yang kian meruncing terutama bagi harga komoditi dan makanan, maka cabaran ini juga memerlukan pengurusan subsidi yang lebih mampan di samping terus memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa depan serta melaksanakan konsolidasi fiskal kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) mengenai strategi dan pendekatan dalam merangka Belanjawan 2023.
Tengku Zafrul berkata, pembangunan mekanisme subsidi bersasar kini dalam peringkat awal pengujian dan akan diperluas kepada beberapa kaedah lain melibatkan kawasan bandar dan luar bandar.
“Pembangunan dan pengujian sistem subsidi bersasar dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum betul-betul bersedia untuk dilaksanakan di seluruh negara.
“Dalam pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan merancang pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan ia tidak mengakibatkan inflasi secara mendadak atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.- UTUSAN









