Bantah 2 projek lombong di Kelantan

Bantah 2 projek lombong di Kelantan

KERATAN laporan Utusan pada 20 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Habitat dan pelbagai hidupan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sokor Taku, Jajahan Tanah Merah, Kelantan, boleh terjejas teruk jika dua rancangan projek perlombongan di situ dilaksanakan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sewajarnya menarik balik cadangan pembangunan tersebut di kawasan rizab perhutanan berkenaan.

Katanya, tapak perlombongan itu antara lain turut menjadi habitat haiwan terancam iaitu harimau Malaya, gajah Asia, beruang matahari dan kijang.

“Saya bimbang projek ini dari segi jangka panjang memberi kesan buruk kepada prestasi pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang jadi teras hutan Malaysia,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon ulasan orang awam terhadap dua projek itu melibatkan HSK di Mukim Sokor, Daerah Kusial.

Kawasan terbabit masing-masing bakal membabitkan perlombongan emas berkeluasan 575 hektar dan mineral bijih besi yang mana kawasan dicadangkan itu lebih kecil iaitu sekitar 210 hektar.

Jumlah keseluruhan tapak itu seluas 785 hektar adalah bersamaan dengan hampir 40 kali ganda Taman KLCC di Kuala Lumpur yang dibuka percuma kepada masyarakat sejak 1998 lalu.

Meor Razak menyifatkan Kerajaan Negeri Kelantan seolah-olah tidak mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara ketika sesi mesyuarat kali ke-70 yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, ia jelas menetapkan semua pihak berkuasa negeri digesa mengambil segera inisiatif bagi mengawal atau sebolehnya mengelak kelulusan kegiatan perlombongan serta kuari di HSK.

Justeru, ujarnya, timbul persoalan apakah kawasan HSK Sokor Taku ditukar guna tanah daripada hutan kepada kegunaan lain secara senyap pula untuk aktiviti berskala komersial.

Lebih pelik, katanya, lokasi berkenaan sebenarnya diambil kira dalam data statistik rasmi sebagai zon berhutan setelah pihak berwajib mentakrifkan kesemua HSK sebagai kawasan berhutan.

“Situasi sebaliknya berlaku selepas hebahan oleh JAS itu menunjukkan seolah-olah ada ‘penipuan’ dan cubaan mengelirukan masyarakat awam.

“Sehubungan itu, SAM menggesa Kerajaan Negeri Kelantan mempertimbang semula kelulusan cadangan perlombongan di HSK agar capai objektif pengurusan hutan secara kekal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya