KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan dicadang mengenal pasti kuarters-kuarters guru terbiar di seluruh negara yang berpotensi ditawarkan semula untuk didiami kakitangan di bawah kementerian tersebut sebelum dibaik pulih.
Bekas Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Anuar Ibrahim berkata, pada peringkat awal, pihak kementerian perlu melakukan bancian guru-guru dan kakitangannya yang berminat tinggal di kuarters yang di lokasi tertentu sebelum diperbaiki sepenuhnya.
Menurutnya, berdasarkan bancian tersebut, kuarters-kuarters yang mempunyai banyak permintaan diberi keutamaan dibaik pulih.
Katanya, beliau mendapati beberapa kuarters guru yang terletak di kawasan pinggir bandar sesuai untuk ditawarkan semula kepada warga pendidik.
“Salah satu punca kuarters guru terbiar dan tidak didiami adalah disebabkan kedudukannya tidak strategik sebelum ini.
“Bagaimanapun, pada masa ini, kawasan-kawasan tersebut semakin membangun dan mempunyai kemudahan asas yang lengkap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan sebanyak 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara berada dalam keadaan terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.
Mengikut laporan Kementerian Pendidikan tahun 2019, lebih 16,000 unit masih kosong daripada jumlah keseluruhan 50,257 kuarters guru yang dibina di seluruh negara.
Daripada jumlah yang kosong pula hanya 6,302 unit dalam keadaan baik dan boleh diduduki manakala bakinya 10,062 unit lagi rosak dan tidak boleh didiami.
Dalam pada itu, Anuar tidak bersetuju sekiranya kaurters-kuarters guru yang dibaik pulih selepas ini disewakan kepada pihak lain.
Ini kerana, katanya, terdapat ramai guru dan kakitangan kementerian terutamanya mereka yang baru berkahwin dan mempunyai keluarga kecil memerlukan rumah yang sesuai.
“Kemudahan tempat penginapan yang selesa dan terletak di kawasan strategik akan menjadi pilihan warga pendidik,” ujarnya.
Tambahnya, pihak Kementerian Pendidikan juga perlu memastikan semua kuarters guru yang didiami sekarang diselenggara dengan baik untuk keselesaan penghuninya.
“Sebelum ini, NUTP selalu menerima runggutan dalam kalangan guru di kuarters tersebut yang mendakwa tidak dilakukan penyelenggaraan dengan cepat apabila berlaku kerosakan seperti bumbung dan paip air bocor serta longkang tersumbat,” ujarnya. – UTUSAN










