KANGAR: Lemah dan tidak bermaya dalam keadaan tidak berbaju. Itu keadaan Zulhelmi Abdul Halim, 28, ketika ditemukan di sebuah gua dalam kawasan Wang Leret, Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Selepas seminggu dilaporkan hilang, Zulhelmi dipercayai bertahan hidup hanya dengan memakan buah-buahan dan minum air hujan.
Dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang sejak beberapa hari lalu, anak bongsu dari lima beradik itu dipercayai mencari perlindungan di dalam gua itu.
Terdahulu, mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung sekitar pukul 12.20 tengah hari dan mengambil masa empat jam untuk dibawa turun ke bawah.
Zulhelmi dilaporkan berada dalam keadaan lesu dan turut mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelah kanan dipercayai akibat terseliuh.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa ditemukan di dalam gua berkenaan yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari dusun durian.
Katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut bagi mengetahui punca sebenar kehilangan mangsa terlibat.
“Dengan penemuan mangsa ini, maka operasi mencari dan menyelamat telah selesai sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga menasihati orang ramai atau individu yang ingin masuk ke hutan selepas ini agar melaporkan kepada Jabatan Perhutanan atau balai polis berhampiran terlebih dahulu.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Abdul Halim Ismail, 71, menzahirkan rasa syukur dengan penemuan anak bongsunya itu selepas hilang sejak seminggu lalu.
“Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus membantu mencari anak saya ketika hilang sebelum ini,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kehilangan Zulhelmi selepas keluar menebas bagi membersihkan sebuah dusun durian terletak atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat di sini sejak 8 Julai lalu. – UTUSAN