Anwar tegaskan diminta gugurkan kes mahkamah jika jadi Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Anwar tegaskan diminta gugurkan kes mahkamah jika jadi Perdana Menteri

ANWAR Ibrahim berucap dalam ucapan dasar ketika Kongres Nasional PKR Ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau pernah diminta mengakui akan menggugurkan kes mahkamah melibatkan dua tokoh dalam UMNO jika mahu mendapatkan sokongan bagi menjadi Perdana Menteri, dua tahun lalu.

Menurut Ketua Pembangkang itu, beliau mendakwa menerima mesej pada malam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Oktober 2020 supaya membuat pengakuan tersebut.

“Sebelum pukul 8 malam, esok pagi kalau saya kata ok, beri nota sedikit saya akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, saya bersama saudara-saudara. Tetapi saya kata kalau hendak sebut simpati, sahabat, semua saya boleh sebut.

“Tetapi, untuk memberi pengakuan saya akan menutup kes yang melibatkan tokoh utama dalam UMNO BN, saya jawab tidak mungkin. Saya tidak minta maaf, saya kata terima kasih kita lawan dan kita hadapi dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional PKR Ke-16, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober 2020 untuk mempersembahkan dokumen sahih yang didakwa merupakan sokongan lebih 120 ahli Parlimen untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Istana Negara pada hari sama menafikan perkara tersebut, sebaliknya mendakwa Anwar sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Sementara itu, beliau dalam ucapan sama turut mengesahkan sekali lagi beliau menolak tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kedudukan beliau sebagai Ketua Pembangkang seperti termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MOU) antara pembangkang dan kerajaan.

“Dia kata selayaknya saya dapat elaun termasuk keraian, bulanan, baju sejuk, kereta dua, isteri satu, jadi saya kata ok dan tengok kertas yang ditandatangani Perdana Menteri dengan pelawaan itu semua, saya kira-kira hampir RM50,000 sebulan.

“Jadi saya menolak pelawaan itu. Balik saya bercakap dengan Azizah, ‘Azizah, tadi abang jumpa Perdana Menteri, dia pelawa kereta dua dan semua kemudahan-kemudahan ini. Dia kata kena tolak. Macam mana, malulah kita. Kita ada kesedaran untuk berdepan dengan rakyat’,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya