Agong berangkat ke Istiadat Hari Pahlawan 2022

Agong berangkat ke Istiadat Hari Pahlawan 2022

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memeriksa perbarisan pada  Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2022, di Dataran Pahlawan Putrajaya hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022 di Dataran Pahlawan Negara, di sini, hari ini.

Sebaik sahaja keberangkatan tiba Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, lagu Negaraku dimainkan sebelum Al-Sultan Abdullah memeriksa barisan kawalan kehormatan utama diiringi 21 das Tembakan Meriam Kehormatan yang disempurnakan 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohd. Asri Che Wil.

Dalam istiadat perbarisan kali ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan konsep perbarisan statik dengan penglibatan enam detasmen iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM). 

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Leftenan Kolenal Muhammad Ikhwan Hussin.

Penglibatan keseluruhan pasukan dalam istiadat ini sebanyak 66 pegawai dan 1,055  anggota lain-lain pangkat dari ATM dan PDRM manakala kekuatan anggota perbarisan melibatkan 54 pegawai dan 830 anggota lain-lain pangkat dari ATM.

PDRM pula, empat pegawai dan 82 anggota PDRM serta 152 veteran dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM). 

Yang hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan isterinya, Tengku Puteri Seri Teja Tengku Muhaini Al Marhum Sultan Ahmad Shah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah dan isteri, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa.

Program kemudian diteruskan dengan deklamasi sajak berjudul Pahlawan oleh Koperal Udara Mohamad Ramadan Akmal Md Jamal dari ATM dan Sarjan Roseshini Kassim dari PDRM.

Kemuncak acara Hari Pahlawan, hadirin dipersembahkan pantomim peristiwa pertempuran di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993 yang mana peristiwa ini melibatkan pasukan Batalion Ke-19 RAMD (19 RAMD). Mekanisme yang terlibat dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Kontinjen Malbatt 1 UNOSOM II (United Nations Operation in Somalia). 

Ketika itu, Ibu Pejabat Operasi PBB di Somalia (UNOSOM II) telah meminta bantuan pasukan Tentera Malaysia dan 19 RAMD Mekanise (MALBATT 1) telah dikerah ke kawasan pertemuan untuk menyelamatkan anggota elit US Rangers dan kru helikopter Black Hawk Down yang terperangkap di pasar kerana diserang gerila pemberontak pimpin an Mohamed Farrah Aidid. 

Dalam usaha menyelamat anggota elit US Rangers, kereta perisai Condo yang dipandu Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang telah diserang hendap gerila pemberontak yang menggunakan pelancar roket RPG yang menembusi cermin hadapan kenderaan perisai hingga mengorbankan beliau. Atas keberaniannya Allahyarham dikurniakan Darjah Keberanian Tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN