SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memanggil pemimpin DAP untuk mengadakan perbincangan berhubung rombakan mahupun jawatan kosong dalam Kabinet.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fok, berkata, urusan berkaitan penyusunan semula kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri dan hanya akan dibincang secara langsung bersama ketua parti selepas diputuskan.
“Ini perbincangan antara ketua parti dengan Perdana Menteri. Setakat ini, Perdana Menteri belum berbincang dengan saya.
“Biasanya perbincangan dibuat dalam notis yang singkat apabila dipanggil. Hari ini, beliau belum memanggil untuk mesyuarat tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral, di sini hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, akan mengadakan rundingan dengan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Madani terlebih dahulu sebelum memuktamadkan kekosongan jawatan menteri di dalam Kabinet.
Anthony Loke dalam pada itu menambah, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan akan mengemukakan pandangan masing-masing apabila sesi perbincangan berlangsung kelak.
“Parti tentu akan beri pandangan. Saya sendiri akan beri pandangan secara bersemuka dengan Perdana Menteri apabila dipanggil,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban turut memaklumkan, tidak menerima sebarang makluman berkaitan bilakah pengumuman rombakan Kabinet akan dibuat. – UTUSAN










