KANGAR: Agensi kerajaan dan organisasi swasta disaran berusaha keras mempromosi perkhidmatan masing-masing secara berterusan sejajar dengan peralihan fasa endemik yang telah merangsang kembali dunia untuk terus berkembang semula.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pihak terbabit juga perlu sentiasa mempertingkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan kepada masyarakat dan para pelanggan walau dalam apa jua keadaan.
Baginda bertitah, kualiti perkhidmatan perlu dipertingkatkan walaupun dengan adanya kemudahan teknologi terkini. Adalah menjadi satu pembaziran jika segala perkhidmatan yang tersedia tidak digunakan pada tahap maksimum mungkin.
“Setiap organisasi juga perlu sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik demi memenuhi keperluan pelanggan bagi mengelakkan sebarang kecaman dan tanggapan negatif masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat singgah merasmikan Projek Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kampung Sentua Utan Aji, di sini hari ini.
Projek perniagaan Marjrod Food Truck yang diusahakan oleh Mohd Marzulrizal Mohmad Zuki, 31, itu menerima sumbangan RM2,000 daripada pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk membeli mesin pengadun membuat donat dan kerusi ‘stainless steel’.
Perasmian tersebut juga bersempena dengan program Kayuhan MAIPs Peduli diketuai oleh baginda sendiri yang turut diiringi oleh pihak pengurusan tertinggi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd serta wakil-wakil daripada Malaysia Teqball Association (MTA) dan Ultimate Fighting Championship (UFC) Malaysia.
Pada masa sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan singgah menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu di kawasan berkenaan.
Pihak Al Ikhsan, MTA dan UFC Malaysia turut tmenyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka kepada golongan yang memerlukan. – UTUSAN










