BENTONG: Seakan ada sesuatu tidak kena kerana kuota minyak masak peket bersubsidi mencukupi namun masih berlaku kekurangan bekalannya.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian termasuk mengenal pasti punca kekurangan minyak masak peket di pasaran.
Katanya, bagi mengatasi isu itu, kerajaan bersedia dan mampu menambah kuota minyak masak bersubsidi yang pada masa ini berjumlah 730,000 tan metrik.
“Saya turun padang dan semua kawasan dikatakan tidak cukup minyak masak RM2.50 sedangkan kuota dikatakan mencukupi, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dan kerajaan kena lihat perkara ini.
“Kalau benar tidak cukup kerajaan tidak ada masalah membuat tambahan (kuota untuk minyak subsidi),” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, di sini hari ini.
Jeck Seng berkata, pada masa ini Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia selepas Indonesia yang menjadi pesaing utama negara dalam pengeluaran komoditi berkenaan.
Katanya, ketika ini terdapat 5.74 juta hektar kawasan penanaman sawit di seluruh negara menyaksikan Malaysia mengeluarkan purata 20 juta tan metrik minyak sawit setahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan harga minyak sawit negara sentiasa stabil dan memberikan pendapatan yang baik kepada pekebun sawit.
Katanya, selain melaksanakan kempen kerajaan juga menjalinkan kerjasama dengan negara-negara pengeluar sawit termasuk Indonesia dalam mencari kaedah bersama menstabilkan harga komoditi itu. – UTUSAN










