8 negeri babitkan 12 sektor belum muktamadkan sempadan jajaran darat

Lapan negeri babitkan 12 sektor belum muktamadkan sempadan jajaran darat

TAKIYUDDIN Hassan menyaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat diantara Negeri Selangor dengan Negeri Sembilan di Sepang, Selangor. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memaklumkan sebanyak lapan negeri masih belum memuktamadkan sempadan jajaran darat negeri masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia membabitkan 12 sektor jajaran darat seperti Selangor-Kuala Lumpur, Selangor-Putrajaya, Kedah-Perlis dan Perak-Kelantan, Perak-Selangor dan Johor-Melaka. 

Beliau berkata, sektor lain termasuk Kedah-Pulau Pinang, Negeri Sembilan-Johor, Johor-Pahang, Pahang-Kelantan, Perak-Pulau Pinang dan Perak Kedah. 

“Setakat ini, tujuh sektor sudah selesai memuktamadkan sempadan jajaran daratnya iaitu Terengganu-Pahang, Perak-Pahang, Negeri Sembilan-Pahang, Selangor-Pahang, Terengganu-Kelantan, Negeri Sembilan-Melaka dan Negeri Sembilan-Selangor. 

“Justeru, saya berharap agar negeri lain yang belum memuktamadkan jajaran sempadan masing-masing supaya dapat menyelesaikannya dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat Antara Selangor dan Negeri Sembilan, hari ini. 

Katanya, penyelesaian sempadan darat antara negeri adalah penting bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan projek pembangunan di kawasan sempadan dengan lebih teratur dan bersepadu.

Takiyuddin berkata, sebagai contoh, kerajaan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan boleh merancang dan mengoptimumkan pembangunan masing-masing di kawasan Sepang dan Nilai. 

Menurutnya, ia juga penting bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat. 

“Penentuan jajaran sempadan yang jelas antara negeri akan turut membolehkan aktiviti penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dijalankan dengan berkesan bagi mencegah berlakunya pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah.

“Selain itu, pengurusan serta pembahagian hasil-hasil sumber asli di kawasan-kawasan sempadan juga dapat dilaksanakan dengan cekap bagi manfaat penduduk di kedua-dua negeri,” katanya. 

Katanya, perjanjian yang dimuktamadkan antara Selangor dan Negeri Sembilan hari ini menyelesaikan jajaran sempadan darat kedua-dua negeri dengan jarak sepanjang 111.9 kilometer (km). 

Jelasnya lagi, sempadan jajaran darat itu bermula dari titik pertemuan sempadan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor serta Pahang dan berakhir di muara Sungai Sepang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya