BAGAN SERAI: Selain menjadi nelayan pantai, warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini dikesan menjalankan aktiviti menebang kayu bakau untuk dibuat tiang ampai iaitu kayu yang dipacak di laut sebagai tempat mengikat bot.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan tempatan yang enggan dikenali berkata, PATI dan warga asing yang menjalankan kegiatan itu dipercayai warga Indonesia manakala kegiatan nelayan pantai pula dijalankan oleh PATI dari Myanmar.
Katanya, mereka mempunyai majikan dalam sektor hasil laut serta ternakan ikan dan menjalankan kegiatan menebang pokok atas arah majikan di tempat mereka bekerja.
“Kegiatan penebangan pokok kayu bakau secara haram ini dikesan dilakukan di beberapa lokasi berhampiran perairan Kerian. Kegiatan itu dilakukan oleh PATI pada sebelah malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kebanyakan warga asing menebang kayu bakau di beberapa lokasi di kawasan Kuala Gula dan ia dilakukan PATI warga Indonesia.
“Mereka melakukan kerja ini pada sebelah malam atas arahan tauke atau majikan supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa. Lokasi kegiatan mereka sering berubah-ubah tempat menyebabkan kegiatan ini sukar dikesan,” katanya.
Menurutnya, kayu bakau yang ditebang akan diangkut menggunakan bot pada malam yang sama pokok bakau ditebang.
Katanya, dia pernah beberapa kali terserempak dengan PATI yang menebang dan mengangkut kayu-kayu bakau.
“Apabila ditanya bawa ke mana, mereka beritahu kayu bakau digunakan membuat tiang ampai atas arahan tauke,” katanya. – UTUSAN










