53 CSO tuntut nyahwarta Hutan Simpan Bukit Cherakah dibatalkan

53 pertubuhan desak MB batal Penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 53 organisasi masyarakat sivil (CSO) menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membatalkan serta-merta penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah berdasarkan keputusan yang dibuat lebih 22 tahun lalu oleh Barisan Nasional (BN) kerajaan pada ketika itu.

Menurut kenyataan media bersama, Pemberitahuan Warta (No. Warta 1645) bertarikh 5 Mei 2022 mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan 406.22 hektar daripada Hutan Simpan Bukit Cherakah, Shah Alam berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 20 November 2000.

“Pengeluaran hutan simpan tersebut telah dilakukan di bawah Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (APN Selangor 1985).

“Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Selangor baru-baru ini, pengeluaran itu dilakukan untuk melengkapkan proses yang didakwa bermula pada tahun 2000, dengan kerajaan negeri sekarang mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelesaikan perkara yang tertangguh selama lebih dua dekad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut CSO tersebut, mengapa mereka (kerajaan negeri) mengambil masa lebih dua dekad masih menjadi misteri.

Jelasnya lagi, dengan mengeluarkan Hutan Simpan Bukit Cherakah, kerajaan negeri turut gagal mematuhi Seksyen 12 APN Selangor 1985, di mana kerajaan sepatutnya menyediakan tanah gantian yang sama besar dengan kawasan yang dikeluarkan sebagai hutan simpanan kekal.

“Di samping itu, kerajaan Selangor telah meminda enakmen perhutanan negeri pada tahun 2011 untuk mewajibkan sesi pendengaran awam dilaksanakan sebelum sebarang pengeluaran hutan simpan dilakukan. Ini diperuntukkan di bawah Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014.

“Kerajaan negeri pada masa ini, di bawah Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengadakan sesi pendengaran awam mandatori, tetapi jelas mereka tidak melaksanakannya, bermakna pengeluaran Hutan Simpan Bukit Cherakah telah melanggar undang-undang. Keputusan muktamad mengenai pengeluaran mana-mana hutan simpan selepas sesi pendengaran awam dilaksanakan mesti dibuat oleh Dewan Undangan Negeri,” katanya.

CSO tersebut menambah, langkah tersebut membolehkan semua fakta penting didedahkan.

Mengulas lanjut CSO tersebut menegaskan, wakil rakyat boleh berbahas dan memutuskan perkara tersebut secara terbuka.

“Bukit Cherakah telah diwujudkan pada tahun 1909 dan popular di kalangan pencinta alam semula jadi, pengujung hutan dan pelancong. Hutan simpan juga merupakan habitat kepada pelbagai jenis flora dan fauna, termasuk tapir, ungka tangan putih, dan burung enggang, serta lebih daripada 450 spesies tumbuhan.

“Bukit-bukit yang curam amat sesuai untuk pendakian dan eko-pelancongan yang mencabar, tetapi ia tidak sesuai untuk pembangunan yang akan menyebabkan hakisan tanah dan tanah runtuh. Pertambahan kelodak juga mungkin menyumbang kepada banjir kilat di hiliran, seperti yang dibuktikan melalui insiden banjir kilat yang melanda negara sebelum ini, termasuk tragedi banjir Baling baru-baru ini dan banjir besar pada Disember 2021,” katanya.

Mengambil iktibar daripada semua peristiwa tragis baru-baru tersebut dan perubahan iklim yang semakin buruk, CSO terbabit berharap kerajaan negeri melakukan perkara yang betul dan membatalkan pengeluaran Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Antara 53 CSO terlibat selain B•E•A•CC•H• adalah A Little Wild, Agora Society Malaysia, Aliran,Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Centre for Independent Journalism. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.