KUALA LUMPUR: Kemasukan murid enam tahun ke tahun satu di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 tetap diteruskan, meskipun langkah penjimatan bakal dilaksanakan kerajaan menerusi Belanjawan 2027.
Selain itu, pelaksanaan kurikulum baharu juga merupakan antara perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikekalkan, selain program-program utama membabitkan aspek kebajikan murid dan penyelenggaraan sekolah.
Setakat semalam, kira-kira 476,000 permohonan kemasukan tahun satu bagi sesi 2027 direkodkan dengan 73,000 melibatkan usia enam tahun (kohort 5+).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian akan memastikan penjimatan dilakukan tidak mengganggu keutamaan yang memberi kesan langsung kepada murid dan sekolah.
Beliau berkata, program lain yang akan diteruskan adalah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) demi memastikan keperluan nutrisi murid terus terpelihara.
“Dalam beberapa aspek sebenarnya, kita tidak mahu rakyat berasa risau dan gusar kerana daripada sudut penjimatan itu, ia tidak melibatkan perkara-perkara besar di peringkat KPM.
“Sebagai contoh RMT, kita pertahankan dan ia akan diteruskan kerana masih penting dalam konteks isu nutrisi anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan mengambil kira pelbagai langkah penjimatan melibatkan semua kementerian termasuk KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Bagaimanapun, Anwar menegaskan aspek kualiti pendidikan dan kemudahan asas di sekolah serta institusi pengajian tinggi tidak akan dikompromi, meskipun langkah pengurusan fiskal yang lebih berhemah dilaksanakan.
Fadhlina berkata, persiapan bagi kemasukan murid berusia enam tahun berjalan mengikut perancangan ditetapkan.
Beliau berkata, KPM memberi tumpuan kepada pembinaan kelas tambahan di beberapa negeri yang berdepan isu kepadatan murid.
“Setakat ini berjalan seperti yang dirancang dan kita sedang memberikan tumpuan kepada pembinaan kelas-kelas tambahan sebagaimana yang kita maklumkan sebelum ini untuk beberapa negeri yang mempunyai isu berkaitan kepadatan murid dan kelas padat,” katanya.
Mengulas berkenaan pengambilan guru bagi menampung keperluan pelaksanaan dasar tersebut, Fadhlina berkata, prosesnya berjalan seperti biasa mengikut perancangan.
Katanya, projek penyelenggaraan dan menaik taraf bilik guru seperti diumumkan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan juga diteruskan tanpa sebarang perubahan.
“Kita juga telah umumkan semasa Hari Guru mengenai penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru yang berkait rapat dengan suasana serta kondisi di sekolah. Saya kira projek itu berjalan seperti biasa juga,” katanya.
Fadhlina berkata, usaha membaik pulih sekolah daif dan kerja-kerja penyelenggaraan juga diteruskan seperti biasa kerana ia merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi memastikan sekolah berada dalam keadaan kondusif dan selamat.
“Sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan masih diteruskan kerana kita mahu ia menjadi sebahagian daripada gerak kerja yang konsisten untuk memastikan sekolah kondusif dan khususnya, selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan pelaksanaan kurikulum baharu yang dijadual diperkenalkan tahun depan berjalan mengikut perancangan.
Katanya, KPM akan sentiasa menilai pelaksanaan langkah penjimatan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak menjejaskan agenda pendidikan negara. – UTUSAN










