5 lelaki ditahan guna laman web Veltratrading.net tipu pelaburan bitcoin - Utusan Malaysia

5 lelaki ditahan guna laman web Veltratrading.net tipu pelaburan bitcoin

SEBAHAGIAN daripada 16 telefon bimbit pelbagai jenama dan komputer riba yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Batu 9 Cheras, Kajang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket menawarkan pelaburan Bitcoin secara dalam talian yang tidak wujud tumpas selepas lima lelaki ditahan di sebuah unit kondominium di Batu 9 Cheras, Kajang dekat sini semalam.

Penahanan kesemua suspek warga tempatan berusia antara 23 hingga 32 tahun itu dilakukan selepas unit kondominium yang dijadikan sebagai pusat panggilan (calling centre) diserbu sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dibantu JSJK IPD Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu.

Kata beliau, modus operandi yang digunakan kesemua suspek adalah dengan menyamar sebagai wanita dalam laman media sosial untuk menarik perhatian mangsa. 

“Mangsa kemudian dipujuk untuk menyertai pelaburan bitcoin atas talian yang menggunakan platform Veltratrading.net.

“Mereka juga menyasarkan mangsa lelaki warganegara tempatan untuk ditipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Zaid, dalam serbuan itu, sebanyak 16 telefon bimbit pelbagai jenama dan komputer riba (lima unit) turut dirampas.

“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kajang direman sehingga esok bagi siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan sindiket ini dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berdekatan atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Tanaseelan di talian 012- 4416412,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan sindiket penipuan pelaburan Bitcoin atas talian agar tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket ini. 

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai juga boleh membuat semakan melalui aplikasi semak mule atau melalui laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi sebarang urusan melibatkan akaun bank dan nombor telefon sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN