PETALING JAYA: Negara kerugian kira-kira RM4.2 juta bagi tempoh lima tahun sejak 2018 hingga 31 Mei lalu akibat penyelewengan minyak masak bersubsidi.
Kerugian ini berdasarkan nilai rampasan 430 kes penyelewengan minyak masak yang dibongkarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diseluruh negara.
Jumlah itu juga tidak termasuk kes-kes penyelewengan barang bersubsidi yang masih diperuntukkan kerajaan seperti Gas Petroleum Cecair (LPG), petrol RON 95, diesel, tepung gandum (kegunaan am), ayam dan telur ayam.
Memberitahu Utusan Online, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, kes tertinggi direkodkan adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 188 laporan melibatkan nilai rampasan RM1.20 juta diikuti 2019 dengan 47 kes direkodkan dengan jumlah nilai rampasan RM12.86 juta.
Kata Azman, pada tahun 2018 sebanyak 62 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan RM806,413 diikuti 2020 iaitu 79 kes melibatkan nilai rampasan RM664,856.
Bagi tahun ini pula, katanya, sehingga 31 Mei 2022, sebanyak 54 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan RM254,584.
“Perkara ini berlaku kerana ada pelesen sah juga melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram (kg) yang dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri sebelum dipasarkan.
“Minyak masak bersubsidi peket satu kg tersebut telah dileraikan menggunakan mesin dan dikumpulkan di dalam tangki lain lebih besar yang bersambungan kemudiannya dipasarkan sebagai minyak masak industri,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, kata Azman, terdapat juga kes yang mana sindiket dipercayai membeli minyak masak bersubsidi daripada pemborong berlesen dalam kuantiti yang banyak.
Jelas beliau, minyak masak peket 1 kg tersebut kemudiannya dipotong dan dimasukkan dalam mesin pengisar sebelum dibungkus dalam botol disyaki untuk dieksport ke luar negara.
“Banyak kes penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi berlaku di negeri bersempadan dengan negara jiran seperti Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak di mana jaringan sempadan yang panjang dan jarak yang berdekatan selain hubungan persaudaraan menjadi faktor mudahnya berlaku aktiviti ini.
“Mereka akan menjadikan rumah kediaman, kenderaan persendirian, lori-lori pengangkutan, jeti-jeti haram, kawasan perindustrian dan sebagainya untuk dijadikan tempat menyimpan atau transit barang kawalan minyak masak tersebut sebelum diseludup keluar,” jelasnya.
Azman menegaskan, pihaknya sama sekali tidak akan berdiam diri malah KPDNHEP akan memperkukuhkan kerjasama dengan semua agensi berkaitan di seluruh negara.
Jelas beliau, pengauditan berterusan akan dilaksanakan kita secara terperinci bermula dari peringkat pembungkus, pemborong seterusnya peruncit akan tiada ketirisan minyak masak bersubsidi berlaku.
“Bukan itu sahaja,kita juga akan buat pemeriksaan terhadap industri yang tidak berkelayakan agar memastikan mereka tidak mengguna minyak masak bersubsidi dalam perniagaan mereka seterusnya mengaut untung berlebihan,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada rentetan penyelewengan minyak masak berkenaan oleh pihak tertentu sehingga kerajaan terpaksa memansuhkan subsidi, Azman berkata, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi satu kg, dua kg, tiga kg dan lima kg, pada Ogos tahun lalu susulan pandemik Covid-19.
Jelas beliau, usaha ini bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Ketika itu, minyak masak botol yang ditetapkan harga maksimum iaitu satu kg dengan RM6.70 diikuti dua kg (RM12.70), tiga kg (RM18.70) dan lima kg (RM29.70).
“Namun begitu, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 billion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Azman, minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan sebanyak 60,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Malaysia.
Kata beliau, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak paket RM2.50 bagi satu kg sahaja, berbanding harga pasaran sebenar yang boleh mencecah RM9.00 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia.
“Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007 dan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak botol sepatutnya masih boleh ditampung oleh minyak masak paket satu kg,” katanya. – UTUSAN











