250 peserta masak asam pedas serentak - Utusan Malaysia

250 peserta masak asam pedas serentak

AKRAMUDDIN Abdul Aziz (dua dari kanan) menerima pengiktirafan MBOR daripada Aaron Bong Ken Jin sempena FMWM 2022 di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penyertaan 250 peserta memasak asam pedas serentak menerusi Festival Masakan Warisan Melaka (FMWM) 2022 membolehkan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, ia merupakan kejayaan kedua pihaknya mendapat pengiktirafan MBOR selepas kali pertama semasa menganjurkan Festival Sepak Raga Bulatan dan Sepak Bulu Ayam (Capteh) pada 2014.

Menurutnya, Capteh mencatat sejarah apabila diiktiraf dengan kejayaan mengumpul 1,500 peserta bermain secara serentak dalam masa 10 minit.

“Alhamdulillah, Melaka khususnya Perzim berjaya mencatatkan satu lagi rekod memasak hidangan asam pedas serentak apabila kita berjaya mengumpulkan seramai 250 peserta.

“Apa yang unik kali ini mereka menggunakan bahan yang sama iaitu ikan, sayur dan rencah untuk memasak asam pedas yang cukup sinonim dengan Melaka.

“Kesemua peserta memasak pelbagai jenis asam pedas kerana kita mempunyai ramai etnik termasuk baba dan nyonya, orang lama serta pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima pengiktirafan daripada Penolong Pengurus Besar Pemasaran MBOR, Aaron Bong Ken Jin di sini hari ini.

Program tersebut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi).

Akramuddin berkata, paling menarik perhatian adalah penyertaan seorang pelancong dari Perancis, Marius Roche, 21, yang kebetulan melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka selaku lokasi program.

“Dia memang tidak tahu memasak asam pedas tetapi mendaftar sebagai peserta serta ditunjuk ajar daripada peserta lain hingga dia sendiri boleh menyediakan masakan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN