20 peratus lagi pengguna air Pulau Pinang dijangka dapat bekalan esok 

20 peratus lagi pengguna air Pulau Pinang dijangka dapat bekalan esok 

PENDUDUK di Teluk Kumbar, Pulau Pinang mendapatkan bekalan air daripada lori tangki selepas kawasan itu masih belum menerima bekalan air sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangkakan bekalan air untuk kira-kira 20 peratus pengguna di kawasan Gelugor dan Teluk Kumbar di sini akan diperoleh selewat-lewatnya pagi esok.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Jaseni Maidinsa berkata, kawasan yang masih belum mendapat bekalan air itu terletak di kawasan yang tinggi dan memerlukan sedikit masa untuk penyaluran air seperti sediakala.

”Situasi yang berlaku di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sebelum ini telah memberi kesan kepada lebih 500,000 pengguna dan kita berjaya menyalurkan semula bekalan air kepada 80 pengguna di kawasan Seberang Perai dan selatan Pulau Pinang.

”Bagaimanapun, masih terdapat kira-kira 20 peratus pengguna di kawasan Gelugor hingga ke Teluk Kumbar masih belum menerima bekalan kerana mereka tinggal di kawasan tinggi, kami jangka selewat-lewatnya esok pagi mereka akan menerima bekalan air,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Operasi loji rawatan air (LRA) di Sungai Dua di sini terpaksa dihenti tugas selama empat jam Rabu lalu kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah.

Menurut Jaseni, PBAPP juga telah menggerakkan pasukan petugas untuk meninjau kawasan-kawasan perumahan apartment dan kondominium bagi memastikan pam air di kawasan tersebut telah diaktifkan semula oleh pihak pengurusan perumahan masing-masing.

”Ada keadaan di mana bekalan air telah disalurkan, namun penghuni di kawasan apartment masih belum menerima bekalan air mereka.

”Apabila petugas PBAPP datang dan periksa, kami dapati pihak pengurusan masih belum mengaktifkan pam air masing-masing.

”Malah, terdapat kawasan seperti di Minden Height dan Bukit Jambul berlaku masalah paip pecah awal pagi tadi, jadi kita perlu baiki paip ini sebelum bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, kebimbangan Pulau Pinang yang bergantung dengan Sungai Muda sebagai sumber utama bekalan air untuk penduduk negeri itu menjadi kenyataan selepas air mentah dari sungai itu terjejas ekoran banjir di Baling.

”Disebabkan itu, Pulau Pinang meminta Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kedah mengambil serius tentang saranan Pulau Pinang untuk mewujudkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM).

”LLUM penting  untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.

Selain itu tambah beliau, Pulau Pinang juga meminta Kerajaan Pusat membantu untuk merealisasikan projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi memastikan bekalan air di negeri itu tidak terjejas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN