174,347 orang pekebun kecil sawit berjaya terima MSPO

174,347 orang pekebun kecil sawit berjaya terima MSPO

WEE Jeck Seng menyampaikan Sijil MSPO kepada pekebun kecil pada Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Dewan Kompleks Perumahan IPD Tampin, Tampin, hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seramai 174,347 orang pekebun kecil persendirian di seluruh negara dengan tanaman sawit seluas 621,268.92 hektar berjaya memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, bagi pekebun kecil tersusun di bawah seliaan agensi Persekutuan dan negeri, seramai 232,601 orang dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 673,511.57 hektar telah memperoleh MSPO.

Menurutnya, pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara. 

“Usaha meningkatkan prestasi industri sawit juga melibatkan pemerkasaan sektor pekebun kecil yang menyumbang lebih 30 peratus pengeluaran minyak sawit negara.

“Ini selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan.  

“Oleh itu, Skim Pensijilan MSPO akan memastikan industri sawit negara yang lebih mampan dan kompetitif sekali gus menyumbang peningkatan pendapatan para pengusaha sawit dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Dewan Kompleks Perumahan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Jeck Seng memaklumkan, bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam pengeluaran sawit mampan, pihak kementerian dan MPOB telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). 

“Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan amalan pertanian baik dan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan. Aktiviti utama KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. 

“Sehingga bulan Jun lalu, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara dan hanya satu KPSM ditubuhkan di Negeri Sembilan iaitu KPSM Daerah Port Dickson Berhad dengan keahlian berjumlah 52 orang pekebun kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN