PETALING JAYA: Sebanyak 13 warga asing serta seorang wanita tempatan terselamat dalam kebakaran kedai cetak di Pudu, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi tadi, kesemua mereka berusia antara 25 hingga 76 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.34 pagi tadi.
“Seramai 26 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan BBP Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Tindakan pantas anggota bomba bertugas melakukan pemadaman berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa diselamatkan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP).
“Kebakaran itu berjaya dikawal pukul 7.24 pagi dan punca masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN