Yasin sempat ucap takziah buat Adibah Noor - Utusan Malaysia

Yasin sempat ucap takziah buat Adibah Noor

YASIN Sulaiman dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan memiliki dan mengedar dadah pada 24 Mac lalu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Salam takziah kepada kawan baik saya Mujahid Abdul Wahab dan Adibah Noor, Innalillahiwainnailaihirojiun.”

Salam takziah itu dititipkan oleh penyanyi nasyid dan komposer, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi sebutan semula kesnya.

Pada 31 Mac lalu, Yasin didakwa atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pukul 5.30 petang, 24 Mac lalu di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini.

Bagi pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Penyanyi Adibah Noor meninggal dunia Sabtu lalu akibat kanser ovari manakala Mujahid yang merupakan bekas anggota kumpulan nasyid NowSeeHeart meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Bandung, 17 Jun lalu.

Terdahulu dalam prosiding di Mahkamah Majistret, Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan 6 Julai ini bagi sebutan semula kes Yasin.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan pihak pendakwaan akan membuat siasatan lanjut berhubung pertuduhan itu.

Peguambela, Arif Azmi, Azizul Shariman Mat Yusof dan Yusmadi Yusoff tidak membantah dengan tarikh sebutan baharu itu seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh sama bagi serahan dokumen.

Di mahkamah itu, Yasin didakwa atas tuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya