pencen penakat

Waris Ezuddin, Surayah dapat pencen penakat RM2,800

NGWE Hee Sem (dua dari kiri) menyampaikan replika cek faedah pengurusan mayat kepada waris pasangan OKU yang terkorban akibat kemalangan di Jalan Pantai Serkam, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Enam beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa maut dalam nahas membabitkan pemandu mabuk di Jalan Pantai Serkam, Jasin Isnin lalu akan menerima pencen penakat berjumlah RM2,816.14 setiap bulan. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, semakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati kedua-dua mangsa iaitu Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, adalah pencarum berdaftar. 

Katanya, waris mangsa iaitu anak-anaknya layak menerima bantuan pencen penakat berjumlah RM2,816.14 dan faedah pengurusan mayat RM4,000 yang diberikan secara sekali bayar (one-off). 

Waris iaitu anak-anak mangsa layak menerima pencen penakat berjumlah RM1,519.38 daripada caruman arwah bapa dan RM1,298 bagi kelayakan si ibu. 

“Hari ini kita juga sampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM4,000 kepada anak-anak mangsa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Tambak Bugis di sini petang semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sepasang suami isteri yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, Ezuddin dan Surayah yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Tambah Hee sem lagi, pihaknya berharap faedah disampaikan itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka menguruskan kehidupan, termasuk empat daripadanya yang masih bersekolah. 

“Kejadian yang menimpa keluarga ini amat memilukan dan pihak Perkeso bersama-sama kerajaan negeri berharap faedah ini dapat meringankan beban ditanggung mereka. 

“Anak-anak mangsa berusia antara 22 hingga 10 tahun, empat daripadanya pula masih bersekolah dan memerlukan kestabilan sumber kewangan untuk memastikan pendidikan mereka tidak terjejas,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN