UTM juara ABU ROBOCON 2022 - Utusan Malaysia

UTM juara ABU ROBOCON 2022

LEE Jia Quan (berdiri dari kanan) bersama pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selepas menjuarai kejohanan Pertandingan ABU ROBOCON Malaysia 2022 di Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pasukan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B menjuarai The ABU Asia-Pacific Robot Contest (ABU ROBOCON) Malaysia 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 Jun lalu di Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM), di sini semalam.

Ketua pasukan, Lee Jia Quan, 21, berkata, meskipun berdepan kesukaran dari segi masalah teknikal pada robot ciptaan dikenali sebagai R1B di saat akhir, namun berbekalkan keazaman dan semangat berpasukan yang kental pasukannya berjaya merebut gelaran juara.

“Memang tak jangka menang sebab semalam robot kami mengalami masalah teknikal tapi kami berasa lega masalah itu diatasi seterusnya dapat memberikan persembahan terbaik sehingga tamat pertandingan,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekatronik UTM.

Katanya, dia bersama 11 lagi ahli pasukan tidak terlepas berdepan cabaran mental sehingga berdepan situasi ingin mengalah sebelum menjelang hari pertandingan.

“Memang pernah timbul rasa nak mengalah sebab rasa tertekan nak siapkan robot yang kita tahu amat rumit dengan dilengkapi spesifikasi teknikal tertentu. Tambahan pula kami banyak berkorban masa sehingga ada dalam kalangan kami yang tertinggal kelas mahupun tak cukup tidur.

“Tapi, itu semua kami harungi bersama demi sebuah kemenangan seterusnya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa pada 21 Ogos ini di New Delhi, India secara dalam talian,” katanya.

Naib johan dimenangi oleh pasukan UTM A.

Sementara itu, ketua pasukan tuan rumah The Apex Team USM, Chia Vern Shuen, 22, berkata, meskipun hanya sekadar meraih tempat ketiga, penampilan sulung pasukan itu akan dijadikan sebagai batu loncatan untuk menyertai pertandingan sama tahun depan.

“Ini hanya permulaan kerana kami baru pertama kali menyertai pertandingan ini. Tahun depan kita bawakan misi untuk menjuarai kejohanan ABU ROBOCON di peringkat Malaysia seterusnya ke peringkat antarabangsa,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekatronik USM.

Ketiga-tiga pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 berserta sijil, pingat dan trofi.

Terdahulu, majlis perasmian penutup pertandingan itu disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad secara dalam talian.

Katanya, pertandingan yang disertai sebanyak 24 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu mampu melestarikan ekosistem pendidikan tinggi dan membangunkan bakat mahasiswa bagi memenuhi aspirasi negara selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pendidikan Tinggi (PPPM-PT). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN