Utamakan isu ‘perut’ sebelum buat PRU

Utamakan isu ‘perut’ sebelum buat PRU

PROF . SHAMSUL AMRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak yang terlalu mendesak agar diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat diminta memikirkan isu ‘perut’ rakyat kerana ia lebih penting pada masa ini.

Bercakap kepada pemberita, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, rakyat mungkin tidak peduli diadakan PRU sekiranya mereka tidak kelaparan atau kemiskinan hidup.

“Ini pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman ilmiah selama 45 tahun, isu antara perut dan PRU, yang manakah patut didahulukan, cuba fikir dan hurai kenapa?” soal beliau.

Isu PRU ke-15 mula semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini menjelang tempoh akhir memorandum persefahaman antara pihak kerajaan dan pembangkang pada 31 Julai depan.

Ramai tokoh UMNO berpendapat tempoh masa ini merupakan peluang terbaik kerana parti itu berada dalam keadaan diterima rakyat manakala pembangkang pula sebaliknya terus lemah.

Tambahan pula, Dewan Rakyat penggal ke-14 akan genap empat tahun pada 16 Julai depan selepas PRU pada 2018 lalu dan kelaziman dibubarkan sebelum cukup genap lima tahun.

Terdahulu, Shamsul Amri hadir menyaksikan pelancaran buku Readings on Malaysia: Selected Essays’ tulisan beliau oleh Saifuddin secara maya di Hotel Zenith Putrajaya, di sini hari ini bersempena dengan Persidangan The Inaugural Global Malaysia Studies Network (GMSN) buat julung kali anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak tertentu yang mendesak supaya PRU dipercepatkan wajar berfikir mengenai keadaan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah atau B40.  

“Perut kosong mereka ini, kena juga dijaga, kerana ia boleh jadi isu besar apabila terpaksa pergi mengundi dalam keadaan kelaparan, siapakah yang akan dipangkah kelak?” tanya beliau.

Justeru, beliau berpendapat adalah lebih baik ditunggu sehingga hampir tamat tempoh penggal Parlimen ke-14 kerana dibimbangi rakyat berada dalam situasi tidak selesa pada ketika ini.

Malah ujarnya, lebih ditakuti apabila berlaku peralihan kerajaan sehingga bertukar empat kali perdana menteri hanya dalam tempoh satu penggal yang disifatkan beliau sebagai amat pelik.

Beliau merujuk trend di kebanyakan negara maju yang menyaksikan jawatan ketua kerajaan boleh bertukar tiga kali dalam satu penggal sehingga mengakibatkan suasana politik tidak stabil.

Bagaimanapun Shamsul Amri dalam nada berjenaka menyerahkan isu ini kepada ahli-ahli politik untuk memikirkannya kerana mereka lebih bijak dan hebat tidak kira daripada parti mana. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN