ALOR SETAR: UMNO Kedah menyelar kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya pemimpin parti itu yang meminta agar diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) awal kerana takut dipenjarakan.
Badan Perhubungan UMNO Kedah dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, tiada kewajaran Pengarah Pilihan Raya Pas itu membuat tuduhan sedemikian ke atas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.
“Ada pun urusan mahkamah baik berkaitan Presiden dan lain-lain pemimpin UMNO adalah sepenuhnya diserahkan kepada mahkamah. UMNO sentiasa menjunjung soal kedaulatan undang-undang sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
“Bahkan atas kebijaksanaan UMNO diputuskan Poster Boy PRU UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. UMNO/BN sudah menjangkakan awal akan ada hujah cetek dan dangkal sebagai tohmahan ini,’ katanya.
Muhammad Sanusi dalam satu portal berita semalam berkata, Ahmad Zahid yang kini berdepan kes mahkamah mendesak agar PRU lebih awal kerana beliau takut dijatuhi hukuman penjara.
UMNO Kedah menegaskan, negara memerlukan kerajaan yang stabil dan berkesan ekoran pelbagai masalah sekarang termasuk krisis ekonomi dunia dan makanan.
“Untuk makluman, jika PRU15 dilakukan pada tahun ini, sebenarnya secara teknikal tidak timbul soal pilihan raya segera. Ini kerana sedar atau tidak, tempoh penggal sudah menjangkau empat tahun satu bulan bagi pentadbiran kerajaan selepas PRU14.
“Kebanyakan sejarah Parlimen Malaysia melalui proses pembubaran setelah menjangkau empat tahun atau lebih awal. Tempoh empat tahun adalah satu tempoh yang sudah cukup matang untuk diadakan pilihan raya semula,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, Menteri Besar berkenaan bersikap kebudak-budakan dan tidak beretika.
“Beliau bukan seorang hakim bertauliah untuk mencampuri sistem perundangan negara dan kenyataannya itu dilihat hanya mencari publisiti murahan melalui serangan politik liar yang tidak berasas.
“Sifat kebudak-budakan Muhammad Sanusi itu jelas menghina kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman negara,” katanya.
Katanya, sebagai pemimpin politik, Muhammad Sanusi harus hadam dan menghormati konsep demokrasi, serta menyedari bahawa Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan berkesan. – UTUSAN