Tinggal mayat anak: Dua individu ditahan bukan pasangan suami isteri

Tinggal mayat anak di lokasi kemalangan: Dua individu ditahan bukan pasangan suami isteri

ANUWAL AB. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Dua individu lelaki dan wanita masing-masing berusia 30-an dan 20-an yang ditahan polis selepas sanggup melarikan diri serta meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas terbabit kemalangan disahkan bukan pasangan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, selepas siasatan lanjut dijalankan oleh pihaknya, status hubungan kedua-dua suspek bukan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau juga berkata, kedua-duanya telah dikenakan reman malah suspek lelaki juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala suspek wanita mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.

“Suspek lelaki telah direman selama empat hari bermula Isnin lalu di Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 hingga esok, manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula, reman akan dimohon esok.

“Pasangannya yang juga ibu mangsa hanya dikenakan reman selama sehari bagi membantu siasatan. Kedua-duanya positif dadah dalam ujian urin yang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, malam Ahad lalu.

Kedua-duanya difahamkan melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu mereka.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu apabila mereka dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor di sini.

Anuwal berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara yang dipandu suspek lelaki telah cuba memotong sebuah lori namun tiba-tiba ia gagal dikawal lalu terbabas ke kanan jalan.

“Kenderaan tersebut telah berpusing beberapa kali menyebabkan bergesel dengan lori tersebut. Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang kereta telah tercampak keluar daripada kenderaan.

“Seorang kanak-kanak lelaki telah tercampak di tengah jalan dan telah digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

“Lelaki dan wanita yang terbabit kemalangan tersebut telah melarikan sebuah kenderaan jenis pacuan empat milik pengguna jalan raya yang memberi bantuan di tempat kejadian,” katanya.

Ujar Anuwal, pasangan tersebut telah berjaya ditangkap di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

Sementara itu, difahamkan jenazah kanak-kanak itu telah dituntut oleh bapa kandung dari Hospital Tampin dan telah selamat dikebumikan semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya