JOHOR BAHRU: Tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan atau melemahkan parti khususnya sayap Srikandi parti berkenaan.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, langkah yang diambil Zuraida itu telah diketahui lebih awal sebelum pengumuman tersebut dimaklumkan kepada pihak media.
Menurut beliau, perkara itu bagaimanapun tidak menggusarkan kerana Bersatu dan Srikandi mempunyai ramai calon pelapis kepimpinan yang layak.
“Tindakan itu tidak melemahkan Srikandi Bersatu, saya katakan begitu kerana keputusan beliau itu sudah dijangkakan lebih awal lagi. Kami bagaimanapun menghormati keputusan beliau.
“Tetapi dari sudut parti mahupun Srikandi khususnya, tindakan itu tidak menjejaskan sebarang urusan pentadbiran, itu perkara biasa dalam politik di mana pemimpin datang dan pergi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan Tinjauan Operasi Ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di sini hari ini.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Kelmarin, Presiden PBM, Larry Sng mengumumkan bahawa parti berkenaan akan melantik Zuraida sebagai presiden parti itu serentak dengan pengumuman keahlian beliau sebagai ahli parti.
Sementara itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut memberitahu, tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu hanya diikuti oleh sekumpulan kecil ahli lain.
“Semasa beliau (Zuraida) keluar Bersatu, saya kira mungkin ada beberapa yang ikut, dan mereka itu memang sudah bersama dengan beliau ketika dia menyertai Bersatu dahulu. Jumlahnya tidak besar tetapi adalah beberapa orang yang kita tahu,” jelasnya. – UTUSAN