JOHOR BAHRU: Perbuatan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang diri dalam pelbagai isu dan permasalahan semasa dihadapi negara adalah satu tindakan yang tidak adil serta tidak sepatutnya berlaku.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya tanggungjawab berkenaan perlu dipikul semua barisan menteri dan timbalan menteri yang terlibat dalam Jemaah Kabinet.
Beliau pada masa turut tidak menafikan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian daripada kerajaan ketika ini dan mereka juga tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawab berkenaan.
“Negara berdepan dengan pelbagai cabaran. Ekonomi tunjuk pemulihan yang sangat perlahan. Pelaburan asing hanya sekadar iltizam di atas kertas. Krisis makanan adalah realiti yang nyata. Sistem imigrasi terus bermasalah. Kesesakan lalu-lintas membarah apalagi bila sistem rel semuanya semakin usang dan menua.
“Penafian bukan lagi pilihan kepada kerajaan. Namun meletakkan segala kesalahan kepada Perdana Menteri tidak wajar. Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan tunjukkan kepemimpinan, di mana semua menteri di kala Perdana Menteri berdepan pelbagai asakan kerana keculasan mereka dalam tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengambil contoh, Mohamed Khaled memberitahu, krisis makanan bukan isu baharu dan ianya semakin meruncing semasa pandemik, tetapi apakah menteri dan kementerian berkaitan tidak boleh merancang bagi mengelak masalah tersebut.
“Ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan minyak masak menjadi mahal tetapi yang lebih membimbangkan adalah bekalan makanan tidak cukup. Malaysia negara membangun paling berjaya tetapi rakyat Malaysia dalam kurun ke-21 kekurangan makanan apalagi sumber protein.
“Urusan memperbaharui pasport mengambil masa berminggu. Di Tambak Johor ratusan ribu terpaksa beratur berjam-jam lamanya kerana kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Malaysia.
“Sedangkan semua ada masa hampir dua tahun untuk tambah baik sistem bagi kelancaran perkhidmatan sewaktu pandemik. Entah berapa kali LRT tidak berfungsi, menyukarkan ratusan ribu pekerja yang harus ke pejabat setiap hari. Kesesakan di Kuala Lumpur dan lebuh raya pula semakin menggila,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, semua permasalahan tersebut adalah gambaran bahawa perkhidmatan awam di Malaysia sedang berdepan krisis keyakinan dan kecekapan.
“Kepada Menteri Kewangan, keutamaan negara adalah mengatasi krisis ekonomi, tetapi keutamaan menteri nampaknya di Kuala Selangor. Perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekalipun sebagai anak angkat, ini adalah dasar sasau dan keliru.
“Kepada kepemimpinan tertinggi perkhidmatan awam, kuatkuasakan peraturan disiplin untuk memastikan bahasa Melayu diutamakan sepenuhnya bukan keutamaan sama sekali sebaliknya tingkatkan kecekapan perkhidmatan awam adalah apa yang negara perlukan pada waktu ini,” katanya. – UTUSAN