Tiada syarikat ternak ayam sertai Program Pecutan Berasaskan Biologi - Utusan Malaysia

Tiada syarikat ternak ayam sertai Program Pecutan Berasaskan Biologi

RONALD Kiandee menyampaikan Anugerah BBA kepada penerima pada Majlis Pelancaran Program Bio-based Accelerator (BBA) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun Malaysia mempunyai sejumlah hampir 3,000 ladang ternakan ayam, tiada satu pun pengusahanya yang menyertai Program Pecutan Berasaskan Biologi (BBA).

Perkara aneh itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Development Corporation Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak berminat memohon program yang kami baru wujudkan awal tahun ini padahal banyak manfaat dapat digunakan penternak terbabit sendiri,” katanya.
selepas menyaksikan Majlis Pelancaran Rasmi Program BBA oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang kini telah disertai 49 buah syarikat.

Aspek bioteknologi dalam sektor pertanian antara fokus kementerian itu untuk agenda sekuriti makanan negara dan syarikat terlibat BBA turut diberi peluang dinaik taraf kepada BioNexus.

Isu ayam menjadi perhatian ramai kebelakangan ini susulan lonjakan harga menjelang musim perayaan meskipun penternak menerima subsidi kerajaan untuk memastikan bekalan stabil.

Ironi, isu ini tiba-tiba pulih apabila kerajaan melarang eksport daging ayam ke Singapura pada 1 Jun lalu sekali gus membuktikan ada kartel yang mengawal bekalan bagi menaikkan harga.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairul Fidzal berkata, terdapat sebuah syarikat yang menyertai BBA dikenal pasti dapat membantu pengusaha ternakan ayam dalam memajukan ladang mereka.

“Peserta ini berjaya membangunkan aplikasi khas selain menyediakan bahan provitamin yang membolehkan penternak itu mengesan ayam bermasalah dari segi isu tumbesaran,” katanya.

Syarikat itu ujarnya, turut memajukan sistem pengesanan awal tahap kesihatan kerana 30 peratus daripada ayam diternak mudah mati akibat tekanan, penyakit dan pelbagai masalah lain.

Justeru tegas beliau, penternak boleh berkongsi kejayaan produk yang dimajukan syarikat berkenaan untuk memastikan ayam berada dalam situasi terbaik tanpa ada lagi masalah besar.

Pada masa sama beliau mendedahkan ada peserta BBA yang membangunkan aplikasi tag untuk pemeriksaan lembu secara sistematik termasuk jika ruminan itu sudah lama kelaparan.

Teknologi canggih diusahakan syarikat yang menyertai program baharu agensi itu seharusnya dimanfaatkan ramai penternak kerana berpotensi dalam agenda sekuriti makanan negara.

“Kami sedia membantu para penternak yang berminat kerana setakat ini sudah ada 49 syarikat terlibat BBA sedangkan prospek bidang ini amat cerah terutama pertanian moden,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya