Tiada parti boleh bentuk kerajaan tanpa Sabah, Sarawak pada PRU-15

Tiada parti boleh bentuk kerajaan tanpa Sabah, Sarawak pada PRU-15

JUNZ WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tiada parti yang boleh membentuk kerajaan tanpa sokongan daripada Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Junz Wong berkata, berdasarkan senario politik hari ini, parti-parti di Sabah dan Sarawak akan memainkan peranan penting bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan pada PRU-15.

Beliau berkata, pada PRU akan datang, politik di negara ini akan memperlihatkan satu gabungan baharu yang mempunyai struktur dan budaya politik baharu yang boleh membantu menstabilkan negara ini.

“Itu sebabnya penting untuk rakyat Sabah sedar dan ambil peluang ini untuk mengundi parti tempatan bagi membolehkan kita bekerjasama dengan Sarawak dalam menuntut hak-hak kita.

“Mereka (parti nasional) tidak boleh mengawal kita kerana tanpa Sabah dan Sarawak mereka tidak boleh membentuk kerajaan.

“Secara peribadi, saya melihat Barisan Nasional (BN) tidak akan menjadi kerajaan baharu pada PRU akan datang kerana Sabah dan Sarawak tidak akan menyertai BN.

“Untuk menang, BN memerlukan 165 kerusi bagi membentuk kerajaan dan saya tidak lihat ada mana-mana parti boleh dapat jumlah itu. Saya tidak fikir ada mana-mana parti di Semenanjung Malaysia boleh memperoleh jumlah kerusi sebegitu.

“Tanpa Sabah dan Sarawak tiada yang boleh membentuk kerajaan, itu kenyataan berdasarkan senario politik hari ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu berkata, Sarawak mempunyai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mereka secara terbuka menyatakan akan menjadi ‘king maker’ bagi menentukan parti yang akan membentuk kerajaan Persekutuan.

Maka, Sabah juga perlu melihat peluang sebegitu bagi menentukan hala tuju negeri ini dengan bersatu hati dan mengundi parti tempatan.

Mengulas lanjut katanya, selepas PRU-15 gabungan parti yang memerintah perlu memberi fokus kepada agenda dan isu-isu rakyat.

“Rakyat di negara ini tidak mahu melihat ketidakstabilan dalam politik terus berlaku selepas PRU-15 kerana mereka sudah bosan dengan pemimpin yang terlalu asyik berpolitik.

“Maka, kita kena stabilkan kerajaan dan saya percaya kerajaan mampu distabilkan sekiranya kita berhenti bercakap tentang politik dan fokus kepada isu-isu rakyat seperti masalah ekonomi, kenaikan harga barangan dan pengangguran,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN