PETALING JAYA: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mendakwa tiada ahli-ahlinya terlibat dalam perhimpunan aman atau Reunion Veteran 6622 di Tugu Negara, kelmarin
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, berdasarkan semakan menerusi gambar dan rakaman video yang tersebar dalam media sosial, tiada seorang pun daripada 170,000 ahli PVATM kelihatan terlibat.
“Tiada peserta-peserta perhimpunan itu memakai baju PVATM. Jadi, saya beranggapan tiada ahli persatuan yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, kira-kira 500 bekas perajurit negara mengadakan perhimpunan secara aman di Tugu Negara bagi mengemukakan tiga tuntutan utama selepas lapan tahun cuba menegakkan hak mengikut saluran betul.
Ia berkaitan dengan penyelarasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen dan buka ruang untuk beri pengampunan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, kerajaan telah memainkan peranan dan tidak berdiam diri sepanjang usaha memperjuangkan hak-hak veteran sejak 2014 dilakukan.
“Pada 2014, sebanyak 10 isu veteran dibentangkan dan dihantar kepada Kementerian Pertahanan. Pada 2016, blueprint veteran kebangsaan diisytihar yang mana beberapa isu diselesaikan termasuk perumahan.
“Oleh kerana terdapat peralihan kuasa pemerintahan, terdapat beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan dan ada juga perkara baru yang timbul seperti pemberian elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang mana ia menyebabkannya bercampur-aduk,” katanya.
Justeru, katanya, apabila beliau mengambil alih PVATM pada 2018, pihaknya mengasingkan mana-mana isu yang sudah dilaksanakan dan isu yang perlu diambil perhatian kerajaan yang mana penyelarasan itu dilakukan sehingga tahun lalu.
“PVATM sentiasa komited meneruskan perjuangan lima isu berkaitan veteran meliputi pelarasan pencen veteran, elaun sara hidup kepada veteran tidak berpencen.
“Teras perjuangan itu juga merangkumi penambahbaikan pencen terbitan kepada balu, elaun kenangan PJM dan mewujudkan lembaga pengampunan untuk bekas tentera,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, rundingan secara berhemah yang dilakukan pihaknya dengan Kementerian Pertahanan dianggap membuahkan hasil.
Ini ekoran Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan, perincinan mengenai dua tuntutan iaitu pengampunan tribunal ATM dan tambah baik pencen terbitan untuk balu ATM akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN