‘The Hood Man’ berjaya dihubungi Jakim - Utusan Malaysia

‘The Hood Man’ berjaya dihubungi Jakim

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Individu ‘The Hood Man’ yang mendedahkan keraguan terhadap status halal di pusat penyembelihan Thomas Food International (TFI) di Lobethal, Australia sudah pun dihubungi kerajaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan menghubungi lelaki yang dikenali sebagai Abdullah itu dan memperoleh maklumat untuk dijadikan panduan dalam tindakan selanjutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihaknya bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti terlibat dalam isu tersebut.

Katanya, bagaimanapun belum ada sebarang makluman daripada pasukan audit daripada Jakim yang dihantar ke negara tersebut pada hujung bulan lalu.

“Belum ada apa makluman lagi, Abdullah sudah dapat dihubungi. Maklumat-maklumat yang diberikan itu dijadikan sebagai satu bahan untuk kita bertindak terhadap sesiapa yang benar terlibat. Setakat hari ini syarikat tersebut sudah pun digantung.

“Dari segi pengadu, kita harap keselamatannya terpelihara. Sepatutnya kita kena bersyukur bila ada perkara sedemikian dan masyarakat pun boleh terimalah kalau pendedahan itu diberlaku betul. Sekarang ini kita sudah pun berkomunikasi dengan Abdullah yang duduk di sana, sekurang-kurangnya kita akan membuat pengesahan apa yang didedahkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas merasmikan pecah tanah Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor di Sungai Panjang, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Jakim menghantar pasukan melakukan pengesahan audit halal selepas loji sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia disahkan melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya.

Idris memaklumkan, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan, telah menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.

Katanya, Jakim mengesahkan hasil audit mengejut yang dijalankan SICHMA mendapati loji sembelihan TFI melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya.

Dalam pada itu, Idris turut memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Kerajaan Australia berhubung isu tersebut yang disifatkan amat mementingkan hak pengguna.

“Di Australia pun saya rasa tidak ada masalah dalam aspek pendedahan ini kerana negara itu difaham sebagai penting dari segi kepenggunaannya.

“Kalau ada (isu kompromi halal), Jakim tidak pernah berkompromi, setakat ini tidak dengar lagi soal governance, penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai dalam soal halal. Ini jelas, sehingga orang anggap JAKIM ini rumit, bukan apa sebab kena ikut prosedur operasi standard (SOP),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN