KUALA SELANGOR: Keluarga lelaki yang maut dirempuh lori ketika membantu menukar tayar kereta pancit di Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan menghargai doa orang ramai ke atas arwah yang masih tidak putus-putus sehingga kini.
Ibu mangsa, Rubiah Basok, 71, mengakui tidak dapat tidur lena kerana trauma dengan tragedi menimpa Allahyarham Zunairi Ahmad, 40, Khamis lalu.
Kata ibu tunggal itu, kehilangan anak ketiga daripada empat beradik berkenaan amat dirasai bukan saja keluarga dan saudara terdekat malah jirannya.
“Arwah sepanjang hayatnya amat rajin termasuk melakukan kerja kampung secara ikhlas tanpa menerima sebarang upah.
KENANGAN
“Kenangan kami terlalu banyak untuk diceritakan dan saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan arwah dan memberi kata semangat,” katanya sebak di temui kediamannya di Taman Kasawari di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim menziarah dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.
Kemalangan kira-kira pukul 4.40 petang itu turut mengorbankan pembantu tadbir Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), Allahyarham Zaidi Baharin, 55, yang mahu dibantu arwah.
Siasatan polis mendapati kereta Preve dinaiki Zaidi sebelum itu dipercayai pancit.
Kereta Wira dipandu Zunairi kemudian datang ke lokasi kejadian untuk cuba membantu di tepi jalan.
Namun, kedua-dua mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk.
Kata Rubiah yang turut berada dalam kereta Wira itu, dia sekeluarga menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada polis.
“Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan arwah juga ‘pergi’ ketika membantu orang dalam kesusahan dan urusan pengebumiannya juga dipermudahkan.
“Bunyi dentuman kuat kemalangan itu masih terngiang di telinga saya dan kami serah kepada polis untuk siasatan,” luahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya sedang menyiasat secara menyeluruh dan akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Pemandu lori berusia 35 tahun sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










