Tengku Sarafudin dahului senarai penerima darjah kebesaran

Tengku Sarafudin dahului senarai penerima darjah kebesaran

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyampaikan Darjah SSDK kepada Mohamed Azmin Ali sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-80 di Balairong Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mendahului senarai penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-80, hari ini.

Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan Darjah Kerabat kepada anakanda baginda dan Darjah Kerabat Sallehuddin kepada Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif.

Baginda turut berkenan mengurniakan gelaran Tunku Mahkota Kedah kepada Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang sebelum ini bergelar Tunku Laksamana Kedah.

Sementara itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikurniakan Darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala Timbalan Ketua Istiadat, Datuk Mohd. Omar Mohamed dikurniakan Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin (DPSS) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) membawa gelaran Datuk Wira pula dikurniakan kepada Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Dua Exco kerajaan negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Azman Nasrudin dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim menerima Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin (DSSS) membawa gelaran Datuk.

Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh; Hakim Mahkamah Tinggi Sungai Petani, Chan Jit Li dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Mohd. Isa Shafie antara 21 penerima Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang turut bergelar Datuk.

Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang juga membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lima penerima antaranya Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad; Senarai LPK (1) Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Mejar Jeneral Baharuddin Ahmad dan Panglima Logistik MK PLTD, Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Abdul Aziz Samsi.

Sementara itu, seorang penerima dikurniakan Bintang Setia Sultan Sallehuddin (SSS), 25 penerima Setia Diraja Kedah (SDK) dan seorang penerima Jaksa Pendamai (JP), namun tidak membawa sebarang gelaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN