BRUSSELS: Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang bukti Hamas mencuri bantuan kemanusiaan di Gaza sambil menggambarkan keadaan kemanusiaan di wilayah tersebut sebagai amat dahsyat, menurut laporan Anadolu.
Bercakap dalam satu taklimat jurucakap Suruhanjaya, Eva Hrncirova, menjawab pertanyaan berkenaan dakwaan kumpulan pejuang Palestin itu menyeleweng bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada orang awam.
“Kami tidak mempunyai sebarang laporan Hamas mencuri bantuan itu.
“Sudah tentu kami tidak menyembunyikan hakikat bahawa situasi di Gaza adalah amat dahsyat dan sangat rumit.
“Namun, kami mempunyai sistem dan infrastruktur untuk menyampaikan bantuan di Gaza dan sistem ini seharusnya segera digunakan untuk membantu penduduk Gaza yang kelaparan,” kata Hrncirova.
Hrncirova turut menjelaskan EU terus bergantung kepada organisasi kemanusiaan antarabangsa yang diiktiraf untuk menyampaikan bantuan dan tidak bekerjasama dengan Global Humanitarian Foundation (GHF) iaitu satu mekanisme tajaan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di Gaza sejak 27 Mei lalu.
“Kami tidak bekerjasama dengan GHF kerana kami percaya bahawa bantuan kemanusiaan tidak boleh diperdagangkan, dipolitikkan atau dijadikan alat dalam konflik,” katanya.
Suruhanjaya EU juga terus menggesa pihak berkuasa Israel supaya memberikan akses kepada rakan pelaksananya di Gaza untuk menyampaikan bantuan dengan selamat.
Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ratusan rakyat Palestin yang mencari bantuan telah terbunuh di lokasi pengagihan GHF akibat serangan tentera Israel dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Sebelum ini, Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bersama lebih 170 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Oxfam, Amnesty International dan Médecins Sans Frontières (MSF) telah menandatangani kenyataan bersama yang menuntut penamatan segera ‘skim pengagihan maut oleh Israel’ termasuk GHF dan menyeru agar koordinasi bantuan dikembalikan di bawah pimpinan PBB.
Sejak Oktober 2023, lebih 57,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan tanpa henti oleh Israel yang turut memusnahkan infrastruktur Gaza dan mencetuskan keadaan seperti kebuluran. -AGENSI









