Tekong cuba ‘suap’ pegawai Maritim Malaysia ditahan - Utusan Malaysia

Tekong cuba ‘suap’ pegawai Maritim Malaysia ditahan

ROMLI Mustafa (dua kiri) bersama pegawai Maritim Malaysia dan SPRM menunjukkan gambar dua tekong darat dan tujuh PATI yang ditahan dalam Op Moon pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di Jalan Bukit Malut, Langkawi. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tindakan seorang lelaki cuba memberi suapan kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk membebaskan rakannya dan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) memakan diri.

Ini kerana, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan ketika hadir ke pejabat agensi itu di sini pada Selasa lalu sambil membawa sejumlah wang untuk tujuan terbabit.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, suspek tersebut dipercayai dalang utama aktiviti penyeludupan tujuh PATI warga Myanmar yang diseludup keluar dari pulau itu menggunakan feri penumpang.

“Lelaki terbabit telah datang ke pejabat Maritim Malaysia dan cuba memberi suapan kepada pegawai maritim untuk melepaskan lapan suspek yang telah ditahan sebelum itu. Namun, dia kini turut ditahan untuk siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akibat perbuatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Maritim Kedah dan Perlis di Jalan Bukit Malut, di sini hari ini.

Terdahulu Romli berkata, dalam tangkapan pertama pada Sabtu lalu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan selepas dipercayai menyeludup tujuh migran terbabit.

Katanya, PATI warga Myanmar berusia 22 hingga 40 tahun itu ditahan di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Dayang Bunting ketika sedang menaiki feri ke Kuala Kedah.

“Siasatan mendapati mereka dihantar oleh suspek ke terminal feri dan pemeriksaan lanjut ke atas tujuh lelaki warga Myanmar itu mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Tidak lama kemudian, pasukan operasi darat berjaya mengesan dan menahan suspek lelaki itu ketika sedang memandu kereta jenis Toyota Avanza keluar dari Terminal Feri Penumpang Kuah,” katanya.

Tambah Romli, lelaki tempatan yang bertindak selaku tekong darat tu juga dipercayai menerima bayaran RM5,000 hingga RM8,000 untuk kerja-kerja terbabit.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya