GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8 (1) yang menghendaki peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan berulang pihaknya di sekitar Pulau Pinang mendapati ramai peniaga terutama gerai makan dan restoran secara terang-terangan melanggar Akta Kawalan Harga.
Jelasnya, pesalah utama adalah gerai yang mana harga makanan dan minuman yang dijual tidak mempunyai senarai harga yang dipamerkan malah ada yang mempamerkan senarai harga sepenuhnya dalam bahasa Cina.
Tambah beliau, pengusaha restoran juga didapati tidak mengemas kini senarai harga mereka.
“Banyak kedai makanan mempunyai senarai harga yang terletak agak jauh dari tempat makanan yang diletakkan.
“Oleh sebab itu, amat sukar bagi pelanggan untuk mengetahui harga makanan yang diambil mereka dan sering kali harganya melebihi belanjawannya, lebih-lebih lagi pada masa sekarang dengan kenaikan mendadak harga makanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohideen, secara amnya pengguna sering dikenakan bayaran yang berlebihan dan mereka tidak mempunyai senarai harga untuk dipertikaikan serta untuk berhujah mengenai bayaran pada bil mereka.
Sedangkan menurut akta sedia ada, penjual bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pembeli mengenai harga dan kekurangan penguatkuasaan telah menghalang keberkesanan undang-undang terbabit.
“Sehubungan itu, CAP menggesa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di seluruh negara dan menguatkuasakan undang-undang dengan tegas mengikut Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973.
“Mereka yang didapati bersalah perlu diambil tindakan dengan segera,” katanya. – UTUSAN










