SEREMBAN: Sejak dibuka kepada pengguna jalan raya pada 26 Ogos 2021, Jalan Temiang-Pantai di sini mula menjadi tumpuan orang ramai.
Tidak disangka, jalan yang pada mulanya dibina bertujuan memendekkan jarak dari Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) ke Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang itu, kini seolah-olah menjadi produk pelancongan.
Pemandangan indah beberapa kawasan dijalan sepanjang 7.44 kilometer itu menggamit kehadiran orang ramai. Mereka mendakwa ia tidak ubah seperti pemandangan di New Zealand.
Jadi tidak hairanlah, pada hujung minggu mahupun cuti umum, boleh dilihat orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan dan lorong kecemasan untuk bergambar dengan latar belakang menarik di jalan tersebut.
Jalan yang berbukit itu turut menjadi tumpuan kepada penggemar aktiviti berbasikal yang menjadikan ia sebagai lokasi melakukan hobi mereka itu.
Bagaimanapun, tindakan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan, bukan kerana kes kecemasan, sebenarnya menyalahi undang-undang kerana boleh mendatangkan bahaya serta kemalangan.
Tindakan boleh diambil di bawah Kaedah 53 (1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan LN166/159.
Tindakan segelintir pengunjung yang berkumpul beramai-ramai dan mengabaikan keselamatan diri itu membahayakan pengguna jalan raya lain sehinggakan kerap kali tular di media sosial dan mendatangkan resah orang lain.
Situasi ini menimbulkan ‘perdebatan’, ketika aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan pihak berkuasa, di satu sudut ada pihak yang berpandangan, keindahan pemandangan di jalan tersebut perlu digunakan sebaiknya terutama oleh kerajaan negeri sebagai produk pelancongan baharu.
Menyedari isu yang timbul itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada awal tahun ini menegaskan, kerajaan negeri akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina tempat meletak kenderaan di Jalan Temiang-Pantai yang menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar.
“Saya tidak sangka lokasi tersebut menjadi tumpuan orang ramai dan pengunjung dalam dan luar negeri melihat gunung-ganang yang juga tempat menarik.
“Oleh itu, kita akan memohon Kerajaan Persekutuan untuk membina tempat letak kereta yang bersesuaian dengan keselamatan jalan raya,” kata beliau.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir. Wan Hasnan Wan Musa ketika ditanya oleh Utusan Malaysia memberitahu, setakat ini masih tiada perancangan untuk perkara tersebut dilaksanakan.
“Ibu pejabat JKR tiada perancangan tersebut. Jalan itu juga masih belum diserah kepada JKR Negeri Sembilan untuk penyelenggaraan,” jelasnya. – UTUSAN