fbpx

Tak wajar Nur Jazlan kritik Perdana Menteri lemah

ABDUL RAHMAN Mohamad (tengah) dalam sidang akhbar Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Alor Gajah, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI 

ALOR GAJAH: Tindakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai lemah dianggap tidak wajar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Nur Jazlan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pulai dan bekas timbalan menteri seharusnya menggunakan pendekatan lebih baik untuk menyuarakan pandangan.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan itu mungkin disebabkan Nur Jazlan tidak mendalami apa sebenarnya yang sedang dilakukan kerajaan ketika ini.

“Beliau pernah duduk di Kabinet sebagai timbalan menteri dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sepatutnya dia lebih arif. Tapi malangnya apabila beliau keluarkan kenyataan seperti itu, pada saya dia tidak dapat mengikut rapat apa yang sebenarnya beliau ketahui.

“Dia boleh berjumpa empat mata (bersemuka) dengan Perdana Menteri dan beritahu apa sebenarnya yang boleh disumbangkan beliau sebagai bekas Pengerusi PAC dan timbalan menteri. Saya lihat Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri seorang yang terbuka dan sesiapa boleh datang pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sini semalam.

Terdahulu, Nur Jazlan dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Abdul Rahman menambah, perbincangan antara Presiden UMNO bersama Timbalan Presiden serta tiga Naib Presiden yang dipanggil lima teratas (top five) kini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Justeru katanya, Nur Jazlan dinasihatkan agar berfikiran waras sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan agar tidak mengeruhkan keadaan.

“Dia sudah dua atau tiga kali keluarkan kenyataan seperti itu sedangkan lantikan Perdana Menteri adalah daripada UMNO. Sepatutnya kena pertimbangkan dengan pemikiran yang waras.

“Saya bukan kata dia tak waras tetapi pemikiran yang waras. Pada saya secara peribadi dia adalah liabiliti, orang lain saya tak tahu,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!