Suami isteri maut dilanggar Myvi mabuk - Utusan Malaysia

Suami isteri maut dilanggar Myvi mabuk

PERODUA Myvi yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk turut melanggar sebuah rumah dalam kejadian di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Serkam Pantai, Merlimau di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda, Ya’akob Mohamad, 57, turut cedera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri dan Ya’akob dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau.

Katanya, setiba di lokasi, Perodua Myvi dari arah Merlimau yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dan dipercayai dalam keadaan mabuk terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kedua-dua buah motosikal itu tidak sempat mengelak kereta tersebut lalu berlaku rempuhan  yang menyebabkan pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi.

“Penunggang Yamaha Lagenda terselamat, namun mengalami kecederaan di badan dan motosikalnya terbakar di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amran memberitahu, kereta tersebut turut melanggar sebuah motosikal jenis Honda Icon yang diparkir di bahu jalan oleh seorang wanita berusia 55 tahun.

“Wanita tersebut dikatakan berhenti untuk membeli sarapan sebelum tiba-tiba kereta tersebut melanggar motosikalnya dan sebuah rumah berdekatan dalam nahas berkenaan.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu mabuk yang bekerja sebagai operator kilang itu hanya cedera di bahagian mukanya,” katanya.

Jelasnya, jenazah pasangan suami isteri itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau turut berada di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.32 pagi.

Pegawai Bomba Kanan II Sofian Hasan berkata, sepasukan lima anggota telah ke lokasi untuk operasi penyelamatan dan pemadaman kebakaran motosikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN