Sistem amaran bencana geologi diperluas ke kawasan berisiko tinggi

Sistem amaran bencana geologi diperluas ke kawasan berisiko tinggi

TAKIYUDDIN Hassan (tiga dari kanan) melihat lokasi pemasangan EWS di Titi Hayun yang terletak di kaki Gunung Jerai, Yan di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran (EWS) yang kini sudah beroperasi di kaki Gunung Jerai, di sini sejak Februari lalu akan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko tinggi berlaku bencana alam seperti di Lembah Klang dan Sabah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pakar daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan melakukan kajian bagi mengenal pasti kawasan berisiko lain yang perlu diberi keutamaan.

Katanya, pemasangan EWS bertujuan memberi amaran awal kepada penduduk menerusi bunyi siren yang diyakini dapat mengelak daripada risiko kehilangan nyawa dan harta benda.

“Pemasangan EWS ini berdasarkan kajian dan perancangan JMG yang mana kita akan mengutamakan lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi berlaku bencana. Di Sabah dan Lembah Klang juga sering berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. 

“Sabah contohnya pada 1996 pernah berlaku bencana alam sehingga meragut ratusan nyawa, jadi di sinilah kepentingan memasang EWS agar penduduk berwaspada selepas mendapat amaran awal,” katanya pada Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing Bersama Komuniti Jerai Geopark di Titi Hayun di sini, hari ini.

Menurut Takiyudin, JMG mempunyai senarai kawasan berisiko tinggi berlaku bencana alam di seluruh negara untuk kajian seterusnya termasuk keperluan pemasangan EWS,

Kata Takiyuddin, EWS yang dipasang di kaki Gunung Jerai itu susulan kejadian aliran puing sehingga mengorbankan enam nyawa serta merosakkan harta benda penduduk dalam kejadian pada 18 Ogos tahun lalu.

“Sistem ini merupakan projek perintis yang dibangunkan melalui kerjasama pintar antara JMG dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta diintegrasikan dengan sistem amaran awam Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Teknologi ini sudah dilaksanakan di negara maju seperti Jepun dan Taiwan. Penggunaan wayar-wayar tertentu diletakkan pada lokasi aliran air yang boleh mengesan berlaku aliran debris seperti batu dan pokok seterusnya mengaktifkan sistem dengan bunyi siren meliputi kawasan seluas 1,500 meter radius,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Takiyudin yang juga Setiausaha Agung Pas terus menegaskan bahawa dakwaan mengaitkan dirinya akan bertanding di Parlimen Sik, dekat sini sebagai hanya spekulasi.

“Berkenaan dengan ura-ura (bertanding di Parlimen Sik), itu ura-ura, nama pun ura-ura, jadi (hanya) ura-ura,” katanya yang kini Ahli Parlimen Kota Bharu.

Cakap-cakap politik mengenai Takiyuddin akan bertanding di Sik bertiup kencang selepas beliau dilihat kerap menganjurkan program di kawasan Parlimen berkenaan yang juga tempat kelahirannya termasuk mengadakan jamuan hari raya kementerian.

Parlimen Sik kini disandang wakil rakyat Pas, Tarmizi Sulaiman yang menang dengan majoriti 5,218 undi menewaskan Dr. Mansor Abdul Rahman daripada Barisan Nasional dan Azli Che Uda daripada PKR (6,970 undi). –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN