SHAH ALAM: Pengedaran ganja kepada 142,000 penagih dipercayai di sekitar Lembah Klang terbantut apabila polis menyerbu dan menyita tiga buah kenderaan dekat tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bangsa, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu.
Serbuan pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada kira-kira pukul 2 petang itu polis berjaya memberkas tiga lelaki berusia 29 hingga 49 tahun dengan kerjasama jabatan sama di Kuala Lumpur.
Ketua JSJN IPK Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, ketika serbuan, 145 ketulan dadah seberat 141.1 kilogram bernilai RM355,250 itu berada dalam kereta Proton Preve dan siap untuk diedarkan dalam kawasan tertentu.
“Setakat ini, semasa ditangkap, proses pengedaran sudah dilakukan, walau bagaimanapun kita percaya dadah ini akan diedarkan, mungkin ada lagi transaksi-transaksi akan dijalankan. Berdasarkan siasatan, kalau kita tengok pada balutannya adalah warna emas, dipercayai gred paling tinggi.
“Sama ada mereka mastermind ataupun tidak, siasatan akan dijalankan. Kita percaya ada lagi dalang-dalang dalam sindiket ini. Berasal dari mana itu, sudah tentu negara jiran, dipercayai di utara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, menerusi kerjasama tersebut, polis turut merampas tiga buah kereta iaitu Proton Preve, Exora yang dipinjam dan Toyota Vellfire disewa pada harga RM500 sehari bagi tujuan pengedaran ganja tersebut.
Sitaan tersebut menjadikan nilai keseluruhan rampasan polis adalah sebanyak RM500,000 selepas risikan dibuat polis selama empat bulan.
Dalam pada itu, Ahmad Jefferi turut memaklumkan dua daripada suspek dikesan positif dadah jenis methamphetamin, namun ketiga-tiganya didapati mempunyai rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu serta jenayah lain.
Justeru, kesemua suspek kemudian direman selama enam hari sehingga hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan kesemua suspek boleh dihukum penjara seumur hidup dengan 15 sebatan atau lebih atau gantung sampai mati.
“Setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati aktiviti pengedaran ini dikesan kira-kira empat bulan dan pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Polis khususnya JSJN amat mengalu-alukan orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah dalam usaha untuk membanteras sindiket pengedarannya habis-habisan,” ujarnya. – UTUSAN











