KULAI: Seorang wanita daripada kumpulan pertama jemaah haji Johor didapati positif Covid-19 hasil ujian pengesanan RT-PCR yang dijalani sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini petang tadi.
Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH) Negeri Johor, Abu Shukor Jangga berkata, pemergian wanita itu dan suaminya ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, penangguhan itu bergantung dengan keadaan wanita itu serta tempoh kuarantin yang perlu dijalani sebelum melakukan ujian pengesanan wabak Covid-19.
“Ia berbeza mengikut tahap kesihatan individu terbabit, sekiranya keadaannya tidak begitu teruk, mungkin tempoh kuarantin lebih pendek. Sekiranya, ketika dia sudah bebas Covid-19 dan tidak ada lagi penerbangan dari LTAS, maka dia perlu terus mengambil penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika ditemui di LTAS, dekat sini hari ini.
Daripada kira-kira 1,200 bakal jemaah haji di negeri ini, seramai 570 akan berlepas dari LTAS, manakala selebihnya memilih untuk ke KLIA.
Bagi kumpulan pertama ini, seramai 142 bakal jemaah haji yang terdiri daripada 74 lelaki dan 68 wanita menaiki penerbangan MH8408 dari Johor ke KLIA yang akan berlepas pada pukul 8.35 malam ini.
Abu Shukor berkata, bermula hari ini hingga Rabu terdapat empat penerbangan dari LTAS bagi membawa bakal jemaah haji di negeri ini.
“Disebabkan slot penerbangan yang terhad, kita akan membantu sebaik mungkin mana-mana individu yang didapati positif untuk menunaikan hajat mereka ke Tanah Suci. Kita akan usahakan juga supaya mereka dapat menaiki penerbangan ke Jeddah dengan penerbangan terakhir berlepas pada 2 Julai ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para jemaah untuk memastikan dokumen penting dibawa bersama, iaitu kad pengenalan, surat jadual penerbangan, sijil vaksinasi, keputusan ujian pengesanan RT-PCR dan buku rekod kesihatan ketika melapor diri.
Bakal jemaah haji juga diingatkan supaya menjaga kesihatan diri ketika berada di Tanah Suci dan banyak minum air disebabkan keadaan cuaca yang panas, iaitu melebihi 40 darjah Celsius. – UTUSAN










