PUTRAJAYA: Sejumlah 38,798 warganegara berusia 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang tempoh bulan lalu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu direkodkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2022 (DPT BLN5/2022) yang diperakukan semalam dan diwartakan hari ini.
Kata beliau, ia turut mengandungi 5,751 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,348 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
“DPT BLN5/2022 itu dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 15 Julai depan yang boleh disemak melalui lima kaedah.
“Semakan boleh dibuat seperti portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
“Selain itu semakan melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata, sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.
Di samping itu katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke pejabat pilihan raya negeri berkenaan.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN4/2022,” katanya. – UTUSAN