KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat yang sebelum ini keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) jika telah secara rasmi menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Masir berkata, selagi BN tidak meluluskan penyertaan PBM dalam gabungan itu, beliau tidak akan menyertainya dan lebih rela menjadi ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan hari ini (Backbencher).
“Tunggulah kalau PBM sudah masuk dalam BN, saya akan berunding menjadi ahli PBM. Jika masih di luar BN, maka saya akan kekal menjadi wakil rakyat bebas,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, jika PBM bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun masih di luar kerangka BN, beliau terpaksa berdepan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang jelas bertanding di semua kerusi Parlimen.
Katanya, seandainya PBM sudah diterima masuk, BN dan GPS boleh berunding untuk membolehkan Masir menjadi calon memandangkan kedua-dua gabungan itu merupakan ‘rakan mesra’ kerajaan.
“Kalau PBM bertanding, atas tiket apa yang dipakai? Di luar parti BN? Kalau PBM sebagai parti luar, jadi, saya tidak akan ikut kecuali sudah bersama BN. Kalau BN putuskan tidak bertanding, jadi, saya tidak bertandinglah. Kalau GPS pula tidak beri laluan pada saya, terpulang pada pucuk pimpinan BN,” katanya.
Menurutnya, beliau pernah didekati oleh Presiden PBM, Larry Sng Wei Shien yang mengajaknya untuk bersama-sama PBM, namun, beliau belum memberi keputusan. Menurutnya, beliau akan memberi alasan sama jika didekati oleh Zuraida untuk memujuknya bersama PBM.
“Ada juga saya berjumpa Larry di Parlimen sebelum ini, beliau juga ada panggil saya untuk masuk partinya,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan yang presiden pengganti PBM (tidak rasmi), Datuk Zuraida Kamaruddin mengalu-alukan penyertaan Masir dan Ahli Parlimen Lubok Antuh, Jugah Anak Muyang, jika mereka berminat menyertai PBM.
Pada Mac 2019, Masir pernah menganggotai Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak, bagaimanapun, beliau meletak jawatan dan kemudian menyertai PSB diterajui Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Masir pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lalu di Balai Ringin, namun tewas oleh Datuk Snowdan Anak Donald Lawan (GPS) dengan undi majoriti 1,285
PBM sebelum ini dilaporkan akan menyerahkan surat permohonan rasmi kepada BN untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu dan bukannya sebagai parti bergabung (Friends of BN).
Ketika ini, PBM masih diterajui Wei Shien juga ahli Parlimen Julau, dan peralihan kepimpinan dijangka berlaku selepas perlembagaan parti PBM dipinda atau selepas pemilihan parti tahun hadapan. – UTUSAN










