Saya faham dan tak langgar kontrak - Amelia Henderson - Utusan Malaysia

Saya faham dan tak langgar kontrak – Amelia Henderson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amelia Henderson tampil bersuara tentang saman perjanjian kontrak sebuah drama terbitan A Aida Production, Sekali Lagi Cinta Kembali.

Menurut Amelia, tuduhan yang dilemparkan tidak berasas dan tidak benar, malah dia juga mengakui terkejut bila mendapat tahu tentang sidang media yang diadakan di ibu kota, Jumaat lalu.

“Saya dapat tahu pun menerusi online ketika saya bekerja. Saya percaya hal ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media atau pun audiens.

“Saya faham tentang perjanjian kontrak itu. Tetapi saya tidak melanggar apa-apa perjanjian. Saya menandatangani kontrak berkenaan pada bulan Februari lalu.

“Bila saya menandatangi kontrak itu, belum ada tarikh tetap bila produksi akan mula,” katanya.

Tambahnya lagi, pada bulan Mei, penggambaran belum dijalankan dan skrip belum diberikan serta para pelakon dalam masa sama menantikan bila penggambaran akan dilakukan disebabkan kelewatan skrip.

“Bila saya sudah tanda tangan kontrak, bermakna saya akan berikan komitmen sepenuhnya. Ada sesi bacaan skrip pada bulan 12 Jun dan pada hari berkenaan masih belum ada ketetapan tarikh bila penggambaran akan dimulakan.

“Perkara secara tidak langsung sudah lewat sebulan. Pada masa sama kami dalam perbincangan mengenai bila hari produksi akan habis sebab sudah melebihi had masa kontrak seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Amelia turut menekankan pada hari bacaan skrip sebenarnya lebih kepada sesi pengenalan barisan artis dan sesi mengenali watak serta perwatakan.

Kata Amelia lagi, dia sangat mengagumi watak dan naratif naskhah mengenai pemerkasaan seorang wanita. Tapi sebaliknya bila dapat skrip dan cuba untuk faham, perkara itu bercanggah dengan prinsipnya.

“Saya sebagai pelakon bertanggungjawab untuk mempamerkan contoh yang baik sebagai seorang pelakon mahupun pempengaruh.

“Sebagai seorang wanita saya tak boleh menjiwai watak ini dan saya tertekan. Malahan tidak seperti yang saya setuju pada hari saya diberikan taklimat. Banyak isu saya tak boleh nak ketengahkan dalam video ini,” jelasnya.

Mengakhiri penerangan menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya, Amelia berterima kasih kepada peminatnya kerana sentiasa memberikan sokongan dan mesej-mesej positif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN