PETALING JAYA: Pelakon berbakat besar, Sharifah Amani, selamat melangsungkan majlis pertunangan bersama jejaka pilihan hatinya, pada Sabtu.
Berita gembira itu dikongsikan pelakon filem Mukhsin itu menerusi hantaran terbaharu di entri Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Amani memuat naik sekeping foto yang memaparkan jari manis kirinya menyarung sebentuk cincin.
“Know know got fiancé. Syukur Alhamdulillah. Satu langkah ke hadapan, sampai bila-bila,” tulisnya ringkas di ruangan kapsyen.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis turut menzahirkan rasa teruja selain mengucapkan tahniah buat pelakon tersebut.
Sekitar Mei lalu, pelakon filem Sepet berkenaan menjadi bahan perbualan warganet setelah dia berkongsi beberapa keping gambar yang memaparkan sambutan hari rayanya bersama keluarga.
Menerusi gambar-gambar yang dikongsikan, ada antaranya memaparkan kelibat seorang lelaki berbaju Melayu berwarna hijau berada di sisinya namun tidak diperlihatkan wajahnya.
Perkongsian bait-bait kata pada gambar juga menyaksikan seolah-olah pelakon tersebut sedang berbahagia bersama seorang jejaka yang tidak dimaklumkan identitinya.










